Najwa Latif nafi tiru Yuna

Najwa Latif nafi tiru Yuna

11 Okt - Imratul Najwa Abdul Latif atau lebih dikenali dengan nama Najwa Latif cukup mengagumi penyanyi yang sedang mencipta nama di peringkat antarbangsa, Yuna tetapi menafikan penyanyi "Dan Sebenarnya" itu memainkan peranan penting dalam perjalanan karier muziknya.

Dipetik daripada akhbar Harian Metro, gadis berusia 16 tahun ini menafikan dia cuba meniru Yuna hanya berdasarkan penampilan mereka yang bertudung dan kebolehan bermain gitar.

Malah penyanyi yang mencipta nama melalui laman YouTube seperti yang pernah dilakukan oleh Zee Avi turut memberitahu genre muziknya dan Yuna juga sangat berbeza.

"Saya akui imej bertudung yang dibawa oleh Yuna mengagumi saya dan peminatnya yang lain. Namun tidak adil sekiranya saya dituduh meniru penampilannya kerana saya sudah lama bertudung," jelas gadis kelahiran Batu Pahat, Johor ini.

Selepas single pertama ciptaannya, "Cinta Muka Buku telah berjaya mendapat perhatian ramai sehinggakan dilamar oleh NAR Records untuk menjadi artis, Najwa kini dalam perancangan untuk menghasilkan single keduanya pula yang berjudul "Carta Hati" yang masih mengekalkan kakaknya, Syafika sebagai penulis lirik.

Najwa yang baru sahaja terpilih sebagai pemenang Anugerah Bakat Muda Selangor dalam kategori muzik solo turut menyatakan tidak bersedia untuk menghadapi cabaran sebagai seorang anak seni dan bimbang sekiranya namanya terpalit dengan gosip negatif.