Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Nasharuddin Mat Isa hari ini menegaskan bahawa beliau bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan isu-isu ummah seperti Syria dan pelarian Rohingya di Myanmar, bukan perbincangan politik.
Ahli parlimen Bachok itu berkata, beliau bertemu dengan ulama-ulama sempena mesyuarat OIC (Organisation of the Islamic Conference) di Mekah, hari ini.
“Kasihan saya melihat mereka yang menghukum tanpa tahu hujung pangkal, berbaik sangkalah sesama Muslim.
“Pertemuan itu sedikit pun tidak berbincang tentang Pas atau Umno, sebab isu yang dibincangkan adalah jauh lebih besar dari Pas atau Umno, kami berbincang tentang keadaan semasa ummah.
“Adakah berbincang tentang ummah satu jenayah?” katanya lagi.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya tentang beliau menyertai Umno.
“Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk UMNO, cuma saya menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai saudara saya se iman termasuk lah pemimpin dan ahli UMNO, dan mereka yang bukan Islam sebagai saudara saya seinsan.
“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk kita tidak memikirkan maslahat ummah,” katanya lagi.
Berkenaan dengan isu hudud, beliau berpegang teguh dengan pendiriannya tentang pandangannya terhadap Karpal Singh.
“Saya kekal dengan pandangan saya bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud tetapi anti Islam.
“Berapa kali sudah dia mengungkapkan bahawa perlaksanaan sistem perundangan Islam ‘is over my dead body’ (langkah mayat saya dahulu) menunjukan dia sanggup mati utk pertahankan pendirian nya , maka saya juga sanggup melakukan apa saja ‘at whatever cost’ (apa juga yang perlu dilakukan) untuk pertahankan agama saya.
“Pas harus lebih tegas menyatakan pendirian nya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum kepada Pas adalah kerana perjuangan nya untuk menegakkan Syariah Allah swt namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh ini, masih ramai yang tertunggu apa sikap Pas terhadap Karpal Singh.
“Pemimpin Pas mungkin sudah faham, ahli Pas juga mungkin sudah mengerti tetapi masyarakat umum masih menanti penjelasan. Pas tidak akan menang hanya dengan undi dari ahlinya sahaja,” katanya dalam kenyataan media yang dihantar kepada The Malaysian Insider petang ini.



