Advertisement

Negara-Ku tidak perlu didaftarkan, kata Ambiga

Negara-Ku tidak perlu didaftarkan, kata Ambiga

Negara-Ku merupakan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak perlu didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan, kata penaungnya, Datuk Ambiga Sreenevasan hari ini.

"Kami percaya tiada keperluan untuk membuat pendaftaran kerana kami ikatan kemasyarakatan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini Negara-Ku adalah pertubuhan haram kerana Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak menerima sebarang permohonan untuk mendaftarkan kumpulan itu.

"Atas sebab itu, Negara-Ku organisasi haram," kata kementerian itu.

KDN turut memberi peringatan bahawa NGO berkenaan melanggar undang-undang jika terus mengadakan aktiviti tanpa membuat pendaftaran dengan RoS.

Selain KDN menggesa NGO berkenaan untuk membuat pendaftaran, KDN berkata nama Negara-Ku juga tidak sesuai kerana ia milik Malaysia dan akan mengundang kekeliruan.

"Ini kerana Negara-Ku merujuk kepada lagu kebangsaan seperti disebut dalam Seksyen 2 Akta Lagu Kebangsaan 1968," kata KDN.

Bagaimanapun, Ambiga menolak dakwaan itu kerana pemimpin NGO berkenaan sudah meneliti akta yang dimaksudkan dan tidak melihat sebarang masalah dengan nama itu.

"Kami percaya ia tidak mengelirukan mahupun melanggar undang-undang. Kami tidak menggunakan nama lagu kebangsaan," katanya yang menolak nama NGO itu milik Malaysia.

Arahan KDN itu dikeluarkan selepas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menyelar Negara-Ku bertujuan mecapai cita-cita politik Ambiga.

Awang Selamat, nama pojokan yang mewakili pengarang akhbar berkenaan mendesak RoS menolak permohonan Negara-Ku kerana mengelirukan orang ramai.

"Biarkannya kekal sebagai pertubuhan haram sehingga namanya ditukar kepada AgendaKu. Ia lebih sesuai dengan rekod dan reputasi Ambiga," katanya.

Ambiga berasa kesal dengan pengumuman KDN dan mempersoalkan mengapa kementerian berkenaan tunduk kepada "suara ekstremis minoriti".

"Ia sangat menghampakan apabila setiap kali kumpulan ekstremis menyuarakan pendapat mereka, KDN mengambil tindakan tehadap apa yang mereka rasakan. Sepatutnya, mereka melihat kami secara objektif.

"Bagaimana ia menjadi masalah apabila semua yang kami lakukan mempunyai agenda perpaduan? Mereka patut melihat sokongan yang diterima NGO terlibat.

"Adakah mereka melihat secara objektif atau sekadar memberi arahan kepada KDN," katanya.

Gerakan Negara-Ku dilancarkan dua minggu lalu dan diketuai aktivis Zaid Kamaruddin dalam memberi harapan baru kepada Malaysia.

68 NGO menyertai Negara-Ku yang mensasarkan mengukuhkan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia dan Rukunegara. – 26 Julai, 2014.