Oleh Clara Chooi
KUALA LUMPUR, 13 Sept ― National Feedlot Corporation (NFCorp) hari ini menafikan tuduhan mereka menyalahgunakan dana kerajaan untuk membeli lembu melalui orang tengah, dan menolak dakwaan Rafizi Ramli sebagai “penipuan.”
Dalam satu kenyataan hari ini, firma yang menguruskan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) itu menjelaskan, pembelian lembu itu dibuat secara sah melalui syarikat di Singapura Global Biofuture Pte Ltd, syarikat yang diwujudkan untuk menguruskan dalam “import logistik, pembelian lembu dan penghantaran kepada NFCorp”.
“Seperti biasa, Rafizi tidak memberikan gambaran penuh dan sebenar tentang NFCorp, dan paling hebat menipu,” kata firma yang diuruskan oleh suami kepada bekas menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Selasa lalu, Rafizi (gambar) telah mengumumkan satu lagi tuduhan terhadap pemimpin Umno itu dan keluarganya berhubung skandal NFC, dan kali ini mendakwa NFCorp melakukan penggubahan wang haram dalam urusan pembelian lembu untuk projek berkenaan.
Pengarah strategi PKR itu, yang kini menghadapi tuduhan mahkamah kerana mendedahkan skandal NFC, menunjukkan kepada pemberita dokumen transaksi beberapa syarikat yang dimiliki keluarga Shahrizat dengan jumlah AS$990,402 (hampir RM3 juta) pembelian lembu dari syarikat Australia.
Beliau juga menunjukkan invois daripada South East Asian Livestock Services Pty Ltd bertarikh 14 Oktober 2010, bagi penjualan lembu kepada Global Biofuture Pte Ltd, firma yang juga diuruskan keluarga Shahrizat.
Satu emel daripada Meatworks Singapura, Donna Yong kepada jabatan kewangan NFCorp bertarikh 25 Oktober, 2010 turut ditunjukkan, di mana permintaan bayaran untuk lembu tersebut di buat.
Rafizi menjelaskan, satu borang yang ditandatangani oleh Donna Yong pada hari sama meminta National Meat and Livestock Corporation (NMLC) Sdn Bhd untuk mengeluarkan cek bernilai US 990,402 sebagai bayaran.
“Ini bermakna dana NFC telah disalurkan secara haram melalui NMLC kepada Global Biofuture Pte Ltd yang mana turut dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil,” dakwanya.
Rafizi berkata ia bukan sahaja melanggar Akta Penggubahan Wang Haram, namun turut melanggar Akta Syarikat,” dan pengarah NMLC akan dikenakan hukuman kerana membayar invois syarikat (Global BioFuture) lain secara haram.”
Di bawah Akta Penggubahan Wang Haram, (AMLA), Bank Negara akan menyiasat apabila mempunyai “alasan sumber dana itu diragui, objektif pemindahan (dana) itu diragui,” jelas Rafizi.
Beliau turut menambah transaksi itu menimbulkan kcurigaan sama ada keluarga Shahrizat telah memperoleh keuntungan dua kali ganda dalam penjualan lembu kepada NFCorp.
“Kenapa NFCorp tidak membeli secara terus lembu daripada pembekal tanpa melalui orang tengah (Global BioFuture) yang turut dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil?” soalnya.
Namun NFCorp menjelaskan mereka perlu mewujudkan syarikat berasingan untuk mencapai sasaran dalam menjalankan projek NFC, projek yang dibiayai dengan sejumlah RM250 juta untuk memenuhi Polisi Daging Nasional (Ruminant Sector) 2006.
“Bagi mencapai objektif perniagaan dan memastikan tagap keefiyenan NFC, NFCorp mewujudkan kumpulan syarikat yang khusus dengan bidang mereka,” kata firma tersebut.
Tambahnya, dana untuk membeli lembu diperolehi daripada pinjaman kerajaan yang dipinjam daripada Kementerian Kewangan, yang telah ditandatangani pada 6 Disember 2007.
“Dana kerajaan itu bersih, dan bukannya haram,” katanya.
“Rafizi Ramli selalu menyerang NFCorp, syarikat yang baru beroperasi dua tahun dengan kontrak 30 tahun dengan kerajaan.
“Beliau menipu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010, pinjaman bank KL Eco City, 5,000 ekar tanah di Gemas, jumlah lembu NFC dan banyak lagi,” kata firma itu.
Menurut NFCorp, Rafizi “tidak boleh dipercayai.”



