Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini menarik balik kenyataannya dan memohon maaf ke atas “tweet” beliau berkenaan dengan kenyataan yang mengatakan demonstrasi membantah filem “Innocence of Muslim” sebagai “membuang masa dan tenaga”.
“Saya menarik balik kenyataan saya dan memohon maaf kepada umat Islam yang tersinggung dan saya tidak berniat untuk menghina mereka,” kata ahli parlimen Beruas (gambar) itu.
Beliau berkata, selepas menonton rusuhan di seluruh dunia berkenaan isu tersebut di Al-Jazeera, CNN dan BBC, beliau melihat ada banyak kerosakan dan kematian kerana klip video Sam Bacile itu.
PAS dan Umno merancang untuk berdemo esok, 21 September ini di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).”Berkenaan tulisan saya dalam Twitter yang berbunyi, ‘Khairy mahu umat Islam untuk (berdemo) menentang (klip video) Sam Bacile? Untuk Islam atau kepentingan politiknya? Adakah umat Islam merasakan ini membuang masa dan tenaga sahaja’.
“Dalam konteks ini, kenyataan ‘membuang masa dan tenaga sahaja’ itu mewakili keganasan dan demonstrasi seluruh dunia hanya kerana klip video 13 minit oleh seorang gila bernama Sam Bacile, dan saya mahu masyarakat untuk memikirkan dengan lebih mendalam dengan cara untuk menghadapi provokasi,” katanya dalam kenyataan medianya yang dihantar ke The Malaysian Insider hari ini.
Bagaimanapun menurut Ngeh, kenyataan beliau telah diputar belit oleh media Umno dan Barisan Nasional.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya video dan penerbit video tersebut, bahawa saya menolak mereka yang menghina agama, sama ada pendirian saya sendiri atau pendirian parti seperti dinyatakan oleh setiausaha agung dalam kenyataan medianya pada 16 September yang lalu.
“Saya menyokong demonstrasi aman, saya juga menganjurkan demo di Perak dan ditahan polis dalam Bersih 2.0, dan menyertai demo Bersih 3.0 sepanjang 23 tahun saya terlibat dalam politik.
“Saya menyokong kenyataan ulama besar seperti Sheikh Yusof al-Qadhrawi, pemimpin kesatuan pemikir Islam Encik Fathul Bari Mat Jahaya, pengerusi perhimpunan ulama muda Encik Musa Awang dan presiden peguam Syarie Malaysia memohon orang ramai supaya bertenang mengenai isu video tersebut,” katanya lagi.
Sam Bacile, dikatakan mengarahkan filem tersebut, dan Terry Jones, seorang pastor dari Amerika mengedarkan klip video filem tersebut.
Jones, pastor yang kini bersama Dove Outreach Center di Florida, pernah menimbulkan kemarahan seluruh dunia dua tahun lalu apabila beliau mahu membakar al-Quran, kitab suci umat Islam sempena ulangtahun tragedi 11 September.
Filem itu telah dibuat di AS, dan ditayangkan di panggung wayang di Hollywood pada penghujung Jun.
Tetapi klip video tersebut dimuatnaik dalam Youtube, dan dialihbahasa ke bahasa Arab, menurut laporan dari BBC, telah menyebabkan kemarahan dan keganasan anti-Amerika di Libya dan Mesir minggu lalu.
Rangkaian televisyen Mesir yang berunsurkan agama, al-Nas menunjukkan klip video tersebut yang dialih bahasa ke Bahasa Arab, dan dan ditonton hingga ribuan kali di Internet.


