KOTA BAHARU, 20 Sept (Bernama) -- Tindakan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh
Koo Ham yang seolah-olah mempersoal tindakan umat Islam memprotes filem
''Innocence of Muslims'', dilihat tidak sensitif kepada agama lain serta rakyat
berbilang bangsa di negara ini.
Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata tindakan Ngeh itu adalah
sesuatu yang tidak boleh diterima.
"Walaupun bukan seorang Muslim, kita perlu ada adab yang betul dan saling
menghormati. Buat apa sekalipun, mesti ingat kesan yang boleh berlaku.
"Betullah kenyataan itu hak sendiri tetapi perlu jaga perasaan orang lain,"
katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan
MCA Kelantan, di sini hari ini.
Ngeh dilapor membuat kenyataan itu menerusi laman Twitter sebagai reaksi
terhadap hasrat Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bergabung dengan Dewan
Pemuda PAS untuk mengadakan protes filem arahan Sam Bacile tersebut yang
menghina dan memfitnah Nabi Muhammad S.A.W.
--- LAGI
NG-NGEH 2 (AKHIR) KOTA BAHARU
Mengulas lanjut, Ng yang juga Pengerusi MCA Kelantan, berkata Ngeh perlu
belajar menghormati perasaan orang lain dan tidak hanya mementingkan soal
politik sehingga sanggup mengguris hati orang lain.
Beliau juga yakin protes yang mahu dirancang di hadapan Kedutaan Amerika
Syarikat itu tidak akan mengancam keselamatan kerana diadakan secara aman.
"Tindakan mengadakan demonstrasi terhadap Amerika Syarikat sebagai tanda
bantahan itu tidak mengapa. Itu bukan demonstrasi ganas dan tidak sama
dengan apa yang dilakukan di negara luar," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merangkap Ketua
Umno Bahagian Kota Baharu Datuk Mohd Fatmi Che Salleh menggesa PAS membuat
kenyataan secara jujur berhubung kerjasamanya dengan DAP berikutan kenyataan
provokasi Ngeh itu.
"Yang paling penting sekarang ialah PAS. Mereka perlu buat pendirian
sama ada kerjasama antara PAS dan DAP perlu diteruskan atau tidak," katanya
kepada pemberita pada Majlis Mesra Raya di Kompleks Majlis Sukan Negeri
(MSN) Kelantan.
-- BERNAMA
ZBI PNAAS FBA PRZ MAM NM

