Nik Aziz jadi contoh integriti, Mat Sabu mahu ia merentas sempadan politik

Hadi’s support for Khalid is his view, not the party’s, says Mat Sabu

Ketika penal forum Integriti mahu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadikan contoh intergriti, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula mahu intergriti tidak dinilai daripada aspek perundangan sebaliknya ia memerlukan nilai etika individu yang tinggi, terutamanya pemimpin politik.

Mohamad menegaskan meskipun jumlah pemimpin pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) yang disabit bersalah atas kesalahan korup lebih kecil berbanding pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak semestinya mereka terlepas daripada melakukan kegiatan berkenaan.

"Tiada tangkapan bukan bermakna kita benar-benar bebas daripada rasuah... itu disebabkan kita belum memerintah," katanya dalam ucapan perasmian penutup forum Pengukuhan Integriti anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) di Universiti Taylor di Subang, di sini.

Tegas beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, apabila memperolehi kuasa memerintah, pemimpin pembangkang juga perlu dinilai dari aspek sama seperti mana pemimpin kerajaan sedia ada.

"Integriti itu menyeluruh. Kita dari parti Islam mesti mendahului perkara ini... hukuman ini kadang kala berlaku kesilapan teknikal kita boleh terlepas, tetapi tidak dari segi etika," katanya.

Ketika forum berlangsung, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Zakaria Jaafar, yang juga panel forum membentangkan statistik dalam tempoh 10 tahun sejak 2003 hingga Jun 2013, yang menyaksikan sejumlah 35 individu politik disabitkan kesalahan rasuah.

Manakala sejak 2009, selepas SPRM dibentuk menggantikan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), 3,063 tangkapan dibuat atas kesalahan rasuah dengan 32 daripadanya merupakan individu politik.

Daripada jumlah itu, 20 daripadanya telah didakwa dengan melibatkan jumlah pemimpin politik Umno mendahului dengan 16 orang, diikuti Gerakan 2, dan masing-masing satu bagi DAP dan PKR.

"Nilai integriti tidak kira parti, sekarang kita tengok banyak yang kena (diambil tindakan) yang berkuasa... benar, sebab kita belum berkuasa," kata Mat Sabu.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin beranggapan parti politik seharusnya menonjolkan tokoh pemimpin yang mengamalkan integriti yang tinggi sebagai contoh ikutan supaya rakyat boleh menilai sesebuah parti.

"Tonjolkan sikap dan integriti pemimpin... jangan berhenti bercakap soal integriti, dan jika hilang sifat integriti dalam sesebuah kerajaan, rakyat pasti akan nyahkan kerajaan," katanya.

Beliau turut mengambil contoh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mempunyai nilai integriti yang tinggi dan harus ditonjolkan oleh kepimpinan parti.

Zakaria bagaimanapun berkata, menjadi budaya rakyat negara ini untuk "mengumpul" bukti kesalahan mana-mana tokoh politik dan kemudiannya membuat aduan kepada badan pencegahan rasuah berkenaan menjelang pilihan raya umum.

"Budaya masyarakat kita sembunyi isu rasuah, kemudian dekat dengan pilihan raya mereka akan dedahkan... statistik kita menunjukkan jumlah laporan meningkat setiap kali menjelang pilihan raya," katanya.

Forum bermula jam 9 pagi itu turut menyaksikan ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw dan juga Pengarah Latihan PKR Mustaffa Kamil Ayub sebagai panel, dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman sebagai moderator. - 7 September, 2013.

);$newData = utf8_encode(htmlentities(strip_tags($newData)));?>