Nokia Lumia 610 dan Nokia Lumia 900
Untuk mereka yang suka mengggunakan telefon Windows Phone, berita baik untuk anda apabila Nokia Lumia kini telah datang ke pasaran Malaysia. Sebuah previu yang dipertontonkan kepada media oleh Nokia baru-baru ini menunjukkan potensi telefon pintar dari Finland ini yang dijangka mampu menggegar pasaran. Rekabentuk Lumia 900 sememangnya boleh dikatakan serupa dengan produk Lumia yang lain. Skrin 4.3 incinya juga sangat jelas dan terang.
Diumumkan buat pertama kalinya di CES 2012, telefon ini datang dengan kamera 8 MP dan lensa Carl Zeiss yang lengkap denga apertur f/2.2. Walaubagaimanapun ia tidak bermakna gambar yang diambil terang — hanya ala kadar. Untuk panggilan video pula Lumia 900 melengkapkan anda dengan kamera 1MP, yang sememangnya lebih baik daripada kamera hadapan di telefon pintar lain di pasaran.
Anda membeli Lumia 900 bukan untuk kameranya, tetapi ciri antaramukanya yang lancar dan kemas. Tidak seperti sistem operasi yang lain, anda tidak perlu mencari satu persatu aplikasi yang anda inginkan di dalam menu telefon anda. Ia boleh diletakkan di muka hadapan telefon anda dengan 'Tiles' yang juga aktif memberikan anda informasi terkini.
'People Hub' pula membolehkan anda dengan senang memantau kehidupan sosial anda. Masukkan informasi untuk rangkaian sosial anda di dalam Hub dan anda hanya perlu satu skrin untuk melihat apa rakan anda buat di dalam talian. Hub juga membolehkan anda meletakkan kawan kesukaan anda di muka depan telefon di dalam 'tile'nya sendiri — seperti meletakkan nombor telefon kesukaan anda.
Pada masa yang sama Nokia juga memperkenalkan Lumia 610, model yang ditujukan untuk mereka yang ingin menukar telefon mereka ke telefon pintar. Produk ini ditawarkan pada harga murah untuk dimiliki, dan mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan telefon yang menggunakan sistem operasi Windows Phone 7.
Ia datang dengan aplikasi peta dan navigasi yang serupa dengan Lumia yang lain, yang bermaksud anda tidak akan merasai kekurangan fungsi berbanding dengan model-model lain. Untuk mereka yang inginkan telefon yang eifisen dan berpatutuan, ini model yang diiginkan.
Lumia 900 boleh dibeli dengan harga RM1,799 manakala Lumia 610 pula pada harga RM699.
By 