Nora Danish reka koleksi busana Hari Raya


4 Jul – Aktres Nora Danish sentiasa menjadi perhatian ramai, apa sahaja yang dilakukannya, baik soal karier mahupun kisah peribadinya pasti akan menjadi bualan ramai.

Malah status janda yang dipegangnya sejak empat tahun lalu yang kini bercinta dengan anak menteri, Nedim Nazri memanaskan lagi empunya diri yang bernama Nora Danish ini.

Bagaimanapun sejak-sejak kebelakangan ini, Nora sering dihimpit kontroversi yang melibatkannya sehingga Nora terpaksa mengambil pendirian untuk mengunci mulutnya.

Baru-baru ini kami sempat bertemu dengan ibu tunggal kepada Putra Rayqal ini untuk mengetahui perkembangan terbarunya.

Hai & Assalamualaikum Maya. Apa khabar?
Hai semuanya, Waalaikumussalam, saya di sini Alhamdulillah baik-baik sahaja.

Bersempena dengan bulan Ramdan ini, adakah Nora akan mengurangkan sedikit aktiviti seni atau sibuk?
Untuk bulan Ramdan ini Nora tidak akan mengurangkan aktiviti seni saya kerana jadual saya sangat padat sepanjang bulan Ramadan ini, jadi setakat ini saya tidak lagi membuat sebarang persiapan untuk menyambut Hari Raya lagi. Selain sibuk dengan aktiviti seni, saya juga kini sibuk dengan promosi koleksi busana untuk Hari Raya, 'Koleksi Capsule' hasil kolaborasi dengan FashionValet yang menampilkan lapan rekaan.

Bagaimana Nora boleh berkolaborasi dengan FashionValet untuk menghasilkan koleksi ini?
Kerjasama kami bermula tiga bulan lalu, saya ada membantu untuk mereka beberapa baju, pada masa yang sama dibantu oleh kakitangan FashionValet. Saya bukan ada belajar rekaan, jadi saya banyak membantu dalam memberi ilham rekaan.

Daripada 100 pilihan, kami kemudiannya hanya memilih lapan rekaan yang terbaik yang mana lapan koleksi ini adalah Koleksi Anggerik, Cempaka, Dahlia, Teratai, Melati, Orkid, Melur dan Kemboja dengan harga yang amat berpatutan iaitu harga bermula RM150 sehingga RM250 saja.

Dengan Nora kini mula berjinak-jinak dalam bidang fesyen pula, adakah selepas ini Nora akan membuka butik pakaian Nora sendiri?
Ya, sememangnya Nora sudah ada perancangan untuk membuka butik Nora sendiri. Tetapi ia masih diperingkat perbincangan dan banyak yang perlu dilakukan. Bagaimanapun, Nora memang akan membuka butik tidak lama lagi.

Sejak-sejak kebelakangan ini, nama Nora sentiasa menjadi bualan ramai dan dihimpit kontroversi. Boleh komen sikit?
Walaupun saya nampak kuat tetapi saya mudah terguris dengan perkara negatif yang dilemparkan. Bohonglah jika saya tak merasa terkilan terhadap tohmahan yang dilemparkan terhadap saya. Tetapi saya tidak mahu mengambil tahu tentang perkara-perkara negatif tentang diri saya. Mengenai kontroversi muat naik gambar pegang tangan dengan Farid Kamil pula saya tidak mahu komen dan ia akan dijadikan pengajaran buat saya. Selepas ini, jika suami orang, saya akan pastikan MIG keluarkan borang yang mempunyai syarat atau apa-apa yang perlu ditandatangani supaya semuanya aman dan tiada masalah berlaku.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual!
Sama-sama, jumpa lagi!