NILAI, 18 Sept (Bernama) -- Satu objek menyerupai janin manusia ditemui di
tangga flat Block C, Kelompok 8, Kuarters KLIA dekat sini pagi ini.
Pegawai Imigresen Saiful Nizam Abas, 40, berkata beliau mulanya melihat
tompokan darah di lantai hadapan rumahnya di tingkat bawah sebelum membuat
pemeriksaan lanjut dan menemui janin itu di tingkat satu flat itu.
"Saya temui objek itu pada kira-kira 8.30 pagi dan segera memberitahu
kejadian itu kepada jiran yang lain dan mereka menyangkakan janin berkenaan
adalah janin kucing sebelum saya bertindak menghubungi polis," katanya ketika
ditemui di lokasi kejadian.
Katanya pihak polis bersama anggota forensik tiba di lokasi tidak lama
kemudian sebelum mengambil janin tersebut.
Beliau difahamkan daripada jururawat Klinik Kesihatan Kuarters KLIA yang
turut tiba di lokasi bagi membantu siasatan bahawa berdasarkan pemerhatian awal
janin itu adalah janin manusia berusia dalam lingkungan tiga bulan.
-- LAGI
JANIN-JUMPA 2 (AKHIR) NILAI
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusof Awang ketika
dihubungi mengesahkan penemuan janin itu berkata pihaknya masih menunggu
keputusan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berhubung status
sebenar janin itu.
Bagaimanapun, katanya kertas siasatan bagi kes itu dibuka mengikut Seksyen
318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta
tampil atau menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Nilai di talian 06-7583222.
-- BERNAMA
RP RP KLS


