Advertisement

PAC mahu 50% kutipan VEP diberi kepada rakyat Johor

Public Accounts Committee to summon RTD over special number plates bid process

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan pusat menyalurkan 50% daripada kadar Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) yang akan dikenakan di pintu masuk di Johor kepada rakyat Johor.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, rakyat Johor selama ini terkesan dengan kemasukan kenderaan Singapura ke Johor dan berhak mendapat separuh daripada kadar VEP yang dikenakan.

“Dengan duit berkenaan, ia boleh digunakan untuk pembangunan Johor khususnya di kawasan Johor Selatan sama ada untuk tujuan projek pembangunan, kebajikan atau penyelenggaraan kemudahan awam seperti jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Wacana Sinar Harian ke-30 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Baru.

Wacana berkenaan membincangkan tajuk “VEP: Apa Tunggu Lagi?” yang dikendalikan moderator Dr Marzlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa.

Antara ahli panel wacana lain ialah Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Wong Shu Qi yang juga pengarah Polisi DAP Johor, Ketua Pemuda Umno Johor Hashasrin Hashim dan Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Nur Jazlan bekata, walaupun jumlah yang hendak dikutip melalui VEP itu tidak besar iaitu sekitar RM20 juta dan RM30 juta tetapi sewajarnya ia disalurkan kepada kerajaan Johor demi kesejahteraan rakyat Johor di kawasan selatan.

Beliau juga meminta kerajaan pusat tidak mengenakan VEP kepada rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan Singapura untuk berulang-alik ke republik berkenaan.

“Ini adalah amat perlu bagi memastikan rakyat Johor yang mencari rezeki di negara jiran berkenaan, tidak berasa terbeban selepas terpaksa membayar kenaikan harga tol di Tambak Johor serta VEP Singapura.

“Saya harap isu ini, tidak dipolitikkan dengan ada pihak yang mempertikaikan rakyat Malaysia yang mempunyai taraf Pemastautin Tetap (PR) Singapura dan menggunakan kereta negara berkenaan tetapi terus tinggal di Johor,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan VEP perlu mencapai objektifnya iaitu memberi pulangan semula kepada rakyat Johor dan bukan bertindak atas emosi atau dijadikan modal politik yang berbentuk perkauman. – 4 September, 2014.