Pakatan akan ambil tindakan mahkamah terhadap larangan ke Sabah

Pakatan akan ambil tindakan mahkamah terhadap larangan ke Sabah

Oleh Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA, 3 Jun ― Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil tindakan perundangan terhadap larangan ke Sabah yang dikenakan kerajaan negeri Borneo tersebut terhadap mereka atas alasan mengancam Sabah.

Surat dari Pejabat Ketua Menteri Sabah kepada Jabatan Imigresen mengesahkan selain daripada Nurul Izzah Anwar, ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Ambiga Sreenavasan dan Rafizi Ramli (gambar) turut disenarai hitam dari masuk ke negeri Malaysia timur itu.

“Ia adalah penyalahgunaan kuasa. Kami akan cabar di mahkamah ... kami juga akan mencabar terhadap pendapat orang ramai,” kata Penasihat DAP Lim Kit Siang ketika sidang media mengulas perkara itu di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Kami akan mencabar aspek-aspek lain kerana kami merasakan ia adalah penyalahgunaan kuasa yang teruk,” tegasnya.

Surat bertarikh 21 Mei yang menggunakan kepala surat dari pejabat Datuk Musa Aman juga mengatakan senarai itu diluluskan oleh Kabinet Sabah selepas mesyuarat pertama mereka bulan lalu pada 15 Mei, 10 hari selepas pilihan raya umum ke 13.

“Kabinet bersetuju Ketua Menteri menggunakan kuasa penuhnya di bawah Akta Imigresen, dan selaras dengan pengesahan daripada Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Sabah, agar tidak membenarkan individu-individu ini mendarat di Sabah,” kata surat itu, sebelum menyenaraikan nama lima daripada ahli politik dan pengerusi bersama Bersih 2.0.

Sebelum ini, Nurul Izzah juga berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap larangan yang dikenakan ke atasnya daripada memasuki Sabah, menjelang sambutan Pesta Kaamatan minggu lalu.

Nurul Izzah telah dihalang daripada memasuki Sabah sebaik sahaja mendarat di Kota Kinabalu untuk menyambut Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai menggunakan kapasiti peribadinya.

Menjelaskan pada Sabtu, Musa dilaporkan berkata mereka yang memberikan ancaman dan merosakkan keharmonian Sabah tidak dialu-alukan untuk ke negeri itu.

Beliau menambah, negeri itu tidak pernah menghalang pemimpin pembangkang sebelum pilihan raya tetapi percaya Nurul Izzah mempunyai niat lain kali ini.

“Sekarang pilihan raya sudah berakhir, pemimpin mereka enggan menerima keputusan. Ini kes orang kempunan. Beliau mahu menimbulkan rasa bengang rakyat agar berarak di seluruh negara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya,” katanya.

“Kami ada sebab untuk percaya niat Nurul Izzah ke Sabah kali ini mungkin tidak sebaik seperti yang beliau dan rakannya dalam pakatan pembangkang nyatakan,” tambah beliau lagi.