Pakatan cadang penubuhan Pejabat Belanjawan Parlimen bebas

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan penubuhan sebuah Pejabat Belanjawan Parlimen bebas yang bertanggungjawab menyediakan analisis belanjawan dan maklumat ekonomi kepada ahli-ahli parlimen secara objektif.

Menurut Rafizi Ramli, salah seorang ahli jawatankuasa manifesto dan dasar PR, cadangan tersebut sangat penting supaya perbahasan dasar dan keputusan kewangan boleh dibuat secara telus dan cepat.

“Sistem pejabat ini sudah lama digunakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom,” kata Rafizi.

“Pejabat ini supaya bagi membentuk amalan yang adil dan telus kepada kedua-dua pihak.”

Rafizi turut membidas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah, yang mengatakan Bajet PR sebagai salah pengiraan dan menuduh beliau menyalahgunakan kuasa dengan mengerah kakitangan awam di Jabatan Perbendaharaan dan jabatan lain untuk mencari kesilapan bajet dibentangkan PR.

“Berbanding Umno dan kerajaan, PR hanya mempunyai 12 orang dan dibantu oleh sekumpulan sukarelawan kecil dalam jawatankuasa ini,” tambah Rafizi.

Menurut Rafizi lagi, penubuhan itu penting memandangkan sehingga kini pihak PR tidak diberi akses secara terus ke atas semua data, angka dan statistik yang diperlukan sepenuhnya untuk membuat unjuran hingga terpaksa berdepan kenyataan seperti yang dilakukan oleh Hanadzlah.

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, juga bertindak menyelar Husni sebagai tidak bermoral dan tidak layak untuk mengkritik bajet PR.

“Saya rasa Husni tidak mempunyai kedudukan moral dan layak untuk mengkritik bajet PR,” kata Nurul Izzah.

“Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 menemui 75 kes terlebih belanja dalam 14 kementerian daripada aspek pembayaran perkhidmatan.”

Nurul Izzah juga menyokong cadangan penubuhan Pejabat Belanjawan Parlimen yang disyorkan oleh Rafizi supaya Perbendaharaan negara tidak mengambil sikap berat sebelah dan menyebelahi kerajaan.

Dalam isu berasingan, ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching dalam sidang medianya mencabar perdana menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak untuk memberi penjelasan mengapa Laporan Ketua Audit 2011 masih belum dibentangkan hingga sekarang.

Teo turut menyelar PM kerana tidak bertanggungjawab dan mempersoalkan tanggungjawab PEMANDU yang dikendalikan Datuk Idris Jala yang seolah-olah tidak mempunyai fungsi dan menjalankan kerja.

Rafizi juga berkata kenyataan oleh Jabatan Perbendaharaan tersebut walaupun bertujuan untuk menghentam PR ia sebaliknya melakukan kesilapan kerana secara tak langsung mengesahkan anggaran kos yang dirangka PR dalam Bajet 2013 bagi membiayai program ekonominya adalah tepat.

Anggaran yang diumum oleh jabatan itu hampir sama dengan angka yang digunakan Pakatan Rakyat sebelum ini menurut Rafizi seperti menghapuskan tol, caruman wanita nasional, bonus warga emas, kenaikkan royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan pengurangan duti eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta yang keseluruhan berjumlah RM41.9 bilion.

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.