Oleh Hafidz Baharom and Joan Lau
KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Pakatan Rakyat (PR) sedang meningkatkan usaha mereka untuk memenangi undi wanita dengan memulakan inisiatif yang dipanggil Agenda Wanita Malaysia pada 13 September ini.
Ini menyakinkan lagi apa yang dikatakan oleh pemerhati politik dan penganalisis bahawa kedua-dua golongan muda dan wanita yang bakal menentukan siapa akan mengambil alih Putrajaya pada ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sudah terkunci dari segi sokongan.
Golongan wanita berjunmlah separuh daripada pengundi berdaftar menyebabkan perlawanan untuk mendapatkan undi wanita adalah sesuatu yang dianggap serius oleh gabungan pembangkang.
Tanpa memberitahu dengan terperinci menjelang pelancaran inisiatif, ketua penerangan Wanita PKR, Ramlah Bee Asiahoo, berkata, “agenda tersebut akan memfokuskan tentang pelaksanaan undang-undang, meningkatkan kualiti hidup, menyediakan peluang untuk golongan wanita untuk terlibat dalam ekonomi, mengkaji semula polisi pendidikan, sosial harmoni dan penjanadayaan golongan wanita muda”.
Menurut ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail, mereka akan turun ke lapangan untuk menganjurkan forum dan ceramah.
“Sebaik sahaja Agenda Wanita Malaysia dilancarkan, kita akan turun ke lapangan bermula dengan kawasan pendalaman, pinggir bandar dan terakhir adalah kawasan bandar dimana golongan wanita profesional dijadikan sasaran.
“Ini adalah kerana golongan yang tinggal di kawasan pendalaman memerlukan lebih perhatian berbanding dengan di bandar,” katanya.
Pemimpin PR akan memfokuskan kepada isu seperti keselamatan dan ekonomi oleh kerana mereka percaya golongan wanita mengundi berdasarkan isu dan pengalaman yang sudah dibuktikan.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, baru-baru ini memulakan inisiatif golongan ibu melawan jenayah, isu yang semakin membimbangkan terutamanya di kalangan wanita di kawasan bandar.
Satu lagi isu yang mengambil perhatian minggu lalu adalah hukuman yang dilihat lembut kepada dua remaja yang disabitkan atas kesalahan “merogol kanak-kanak”, dimana bantahan datang dari kedua-dua BN dan PR.
Ketua Penerangan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al-Jundi, berkata bahawa sayap wanita parti itu akan berkempen dari pintu ke pintu; satu kaedah kempen yang berkesan sebelumnya termasuk untuk Wanita Umno.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini sentuhan peribadi telah digantikan oleh perhimpunan di mana wang tunai diberikan kepada keluarga yang kurang bernasib baik akan tetapi sekarang Agenda Wanita Malaysia akan memulakan kembali apa yang mereka tertinggal.
“Memberi bantuan adalah baik, tetapi ia adalah sangat sedikit dan tidak mencukupi. Selain dari kebajikan, kita mesti menumpukan lebih kepada dasar,” kata ahli jawatankuasa PKR pusat, Elizabeth Wong.
Dasar-dasar ini perlu dijelaskan dan ini adalah di mana lawatan dari pintu-ke-pintu boleh membantu untuk mendapatkan maklumbalas mengenai dasar.
“Kita perlu masuk ke rumah-rumah mereka, duduk dan meluangkan masa menjelaskan mengenai apa yang kami tawarkan, “kata Aiman.
Dalam perlumbaan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, kelihatan seperti pembangkang sanggup untuk melakukan sesuatu yang sedikit “retro” — turun ke lapangan untuk bertemu dengan pengundi dan bersemuka dengan mereka.




