Pakatan sokong VEP, tetapi mahu kadar minima, kata Pemuda PAS

Pakatan sokong VEP, tetapi mahu kadar minima, kata Pemuda PAS

PAS menyokong tindakan Putrajaya mengenakan bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing yang memasuki Johor dari Singapura tetapi mahu kadar minima dikenakan terlebih dahulu.

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, hasil perangkaan menunjukkan jika VEP dikenakan pada kadar RM20, ia hanya membabitkan 5% sahaja daripada sebulan gaji rakyat Singapura.

"Cuma apa yang saya khuatir, apa jaminan kerajaan wang daripada VEP disalurkan kepada rakyat Johor? Berapa peratus yang akan diberikan kepada negeri Johor? Perlu ada penjelasan lebih telus," katanya.

Beliau bercakap dalam Wacana Sinar Harian ke-30 bertajuk “VEP: Apa tunggu lagi?” di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru.

Turut menjadi panel ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi yang juga pengarah Polisi DAP Johor, Ketua Pemuda Umno Johor Hahasrin Hashim dan Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Sementara itu, Wong berkata, Pakatan Rakyat secara dasarnya bersetuju VEP dikenakan tetapi mahu ia hanya dikenakan pada rakyat Singapura, bukan rakyat Malaysia yang memandu kenderaan negara berkenaan.

Beliau mahu 70% daripada kutipan VEP disalurkan semula untuk kepentingan rakyat Johor bagi membolehkan infrastruktur awam seperti jalan di Johor Bahru dapat diselenggara dengan lebih baik.

"Kita kena faham Singapura laksana VEP bagi mengawal aliran trafik kenderaan asing masuk ke negara berkenaan. Tetapi untuk Malaysia, apa sebenarnya tujuan pelaksanaan VEP?

"Jika untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Johor, Pakatan bersetuju tetapi perlu jelas berapa jumlah yang disalurkan. DAP menuntut 70% daripada kadar VEP disalurkan semula kepada Johor," katanya. – 4 September, 2014.