Advertisement

Parlimen tolak usul petisyen mansuh Akta Hasutan

Speaker allows debate on amendments to Sedition Act

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak cubaan ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad membawa usul pemansuhan Akta Hasutan 1948 di Dewan Rakyat atas alasan teknikal dan kerajaan sedang menyemak berhubung perkara itu.

Pandikar berkata, isu berkenaan Akta Hasutan itu juga sudah diperdebatkan di Dewan Rakyat dan tiada keperluan untuk petisyen yang ditandatangani mereka yang menuntut akta itu dimansuhkan sekali lagi dibangkitkan.

Antara alasan yang menyebabkan usul itu ditolak adalah terdapat antara daripada 3,005 penama dalam petisyen itu tidak menandatangani petisyen berkenaan serta turut terdapat antara mereka yang tidak meletakkan nombor kad pengenalan mereka.

"Kalau kita tolak 1,000 orang sekalipun, masih ada 2,000 lagi nama yang lengkap dalam petisyen ini," kata Khalid, ketika membangkitkan perkara itu sebelum perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 bersambung di Parlimen.

"Saya tidak menganggap ini alasan yang wajar kerana ia hanya menunjukkan keprihatinan rakyat dan mahu dibaca di dalam Dewan.

"Tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh dibaca, tidak perlu perbahasan, hanya untuk makluman Dewan," kata Khalid.

"Saya tidak memahami seperti mana dikatakan kerajaan sendiri, mereka ingin ambil pandangan semua pihak."

Kumpulan penyokong pemansuhan Akta Hasutan sebelum itu berarak ke bangunan Parlimen dari Padang Merbok, Kuala Lumpur sebelum berhimpun di lobi Parlimen.

Antara yang kelihatan adalah peguam Latheefa Koya, aktivis Mandeep Singh, serta beberapa individu lagi untuk menyerahkan petisyen berkenaan.

Khalid pada minggu lalu, menyerahkan petisyen kepada Dewan Rakyat memohon agar Putrajaya memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggugurkan semua pendakwaan di bawah akta tersebut.

Dalam petisyen mereka, kumpulan aktivis sosial itu berkata Akta Hasutan mempunyai tafsiran yang terlalu luas dan amat mudah disalahgunakan.

"Ia boleh dan sedang digunakan untuk memperjenayahkan apa-apa ucapan bersifat demokratik, termasuk kritikan terhadap kerajaan, pemimpin, atau parti politik pemerintah.

"Kebelakangan ini, Akta Hasutan digunakan secara melulu dalam satu arus penindasan politik baru yang amat dahsyat dan rakus, di mana sasaran mereka termasuklah wakil rakyat, peguam, aktivis sosial, dan rakyat biasa," kata petisyen tersebut.

Kumpulan berkenaan turut menamakan beberapa individu yang pernah dan masih didakwa menggunakan akta tersebut, termasuk Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya Prof Dr Azmi Shahrom, Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran, aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim dan Safwan Anang, serta ramai lagi pemimpin politik dan penggerak aktivis.

Mereka berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan pada 11 Julai 2012 dan 3 Julai 2013.

"Adalah amat memeranjatkan, walaupun janji dibuat kepada rakyat Malaysia, namun penggunaan akta ini meningkat berleluasa," kata petisyen tersebut.

Sehubungan itu, mereka menuntut agar Dewan Rakyat mendesak Putrajaya memansuhkan akta berkenaan dan menggugurkan pendakwaan serta membebaskan mereka yang dipenjarakan di bawahnya serta memastikan tiada gantian undang-undang yang sama dengan Akta Hasutan. – 24 November, 2014.