Pelan induk pendidikan pembaziran tanpa perancangan rapi, kata DAP

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 15 Sept — DAP hari ini menegaskan timbulnya perasaan kurang yakin terhadap pelaksanaan Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Rabu lalu kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan Putrajaya hanya melakukan pembaziran dengan peruntukan yang disediakan.

Ahli strategi pilihan raya DAP, Ong Kian Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata, rancangan untuk membangunkan infrastruktur sekolah kerajaan adalah satu pelaburan yang membazir kerana hasil yang diberikan amat menyedihkan.

"Amat menyedihkan, walaupun berbilion ringgit dibelanjakan untuk pembangunan infrastruktur sekolah, hasil terhadap pelaburan ini tidak berbaloi kerana pembaziran, ketirisan, dan rasuah.

"Tanpa mengenalpasti puncanya, kami kurang yakin cita-cita tinggi untuk menaiktaraf infrastruktur fizikal di sekolah seperti Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan 2013 ke 2015 akan berjaya, kerana pelan sebelum ini gagal," tegasnya.

Jelas Ong (gambar), laporan-laporan sebelum ini juga menunjukkan kegagalan Kementerian Pelajaran (MoE)  membangunkan infrastruktur berkenaan dapat dilihat dalam Rancangan Malaysia Ke-9, apabila sejumlah RM20 bilion hingga RM40 bilion disalurkan untuk pembangunan infrastruktur, namun hasilnya amat mengecewakan.

"Walaupun telah menghabiskan RM16 bilion untuk pembangunan infrastruktur fizikal, jumlah sekolah yang mendapat air bersih menurun kepada 85.

"Walaupun RM2.8 bilion dibelanjakan untuk infrastruktur IT, jumlah sekolah tanpa makmal komputer hanya berkurang kepada 68. Apa yang mengejutkan adalah statistic sekolah tanpa makmal Sains yang sempurna meningkat kepada 336!" tegas Ong.

Tambahnya lagi, laporan Perbelanjaan Bank Dunia 2011 juga menunjukkan perbelanjaan berlebihan MoE dalam belanja pengurusan, meningkat ke paras 10.7 peratus (atau RM2 bilion) pada 2010.

"Tanpa semakan semula perbelanjaan dan pembaziran MoE, peluang untuk menepati KPI dalam Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan amat tipis," katanya.

The Malaysian Insider semalam melaporkan Pakatan Rakyat (PR) menggesa kerajaan mendedahkan empat laporan utama kepada umum sebelum melaksanakan Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan, dan mendakwa pelan tersebut tidak mempunyai arah tuju yang jelas bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Ahli parlimen DAP, Tony Pua dalam sidang media semalam berkata empat laporan tersebut sangat penting terutamanya bagi mengkaji dan menilai sejauh mana tahap pendidikan negara.

Empat laporan tersebut ialah laporan UNESCO (April 2011), laporan Bank Dunia (suku pertama 2010), laporan penilaian panel bebas Malaysia (diketuai Prof Tan Sri Dzulkifli Abd Razak) dan laporan penilaian bebas antarabangsa.

Pua juga mengumumkan pihak PR telah menubuhkan satu unit khas iaitu Taskforce Pendidikan PR ( PET) bagi mengkaji dan memberi maklum balas ke atas Pelan Induk Pendidikan 2013-2025 tersebut.

“Saya gesa Kementerian Pendidikan dedahkan dahulu empat laporan tersebut sebelum bertindak melaksanakan pelan baru ini.

“Kami daripada pihak PR juga mahu menyumbang pendapat dalam pelan induk tersebut dan tidak akan mempolitikan isu ini.

“Kami mahu memberi pandangan secara konstruktif dan membina kerana ia melibatkan masa depan negara,” kata Pua.

Rabu lalu, pemimpin tertinggi PR menggesa satu Jawatakuasa Khas Parlimen (PSC) ditubuhkan bagi membincangkan Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan yang diperkenalkan oleh pentadbiran Najib Razak kerana mendakwa ia satu lagi bukti kegagalan kerajaan di dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

 

 

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.