Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 8 Feb — Pembangkang harus menerima keputusan pilihan raya yang dilangsungkan tahun ini sekiranya tewas, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang juga perdana menteri berkata, pembangkang perlu menghormati keputusan rakyat kerana ia adalah salah satu prinsip dalam sistem demokrasi.
“Menghormati keputusan rakyat adalah satu prinsip yang penting dalam sistem demokrasi iaitu demokrasi berparlimen, bererti kita mesti terima keputusan rakyat.
“Bila dia kata dia percaya demokrasi dia harus menyanjung prinsip itu, itu hakikatnya,” kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno di ibu pejabatnya hari ini.
Menurut Najib, rakyat secara umumnya tidak menerima politik huru-hara, dan harus berpegang kepada kedaulatan undang-undang.
“Kalau dia nak buat huru hara, semua orang tak boleh terima.
“Kita akan wujudkan the rule of law,” kata Najib lagi.
“Menghormati undang-undang adalah prinsip asas dalam negara, perjalanan demokrasi menuntut kepada kita menghormati undang-undang negara,” katanya.
Katanya beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkemampuan untuk memastikan pilihan raya yang diadakan adil dan bersih.
Baru-baru ini Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menegaskan akan mengetuai perhimpunan rakyat besar-besaran sekiranya SPR tidak telus dalam menggendalikan perjalanan Pilihan Raya 2013.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menegaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menganjurkan demonstrasi ala “Arab Spring” sekiranya Pakatan Rakyat (PR) tewas.
Pilihan Raya 2013 perlu diadakan selepas mandat kerajaan BN tamat pada penghujung April.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) menjadi rebutan dalam pilihan raya yang dianggap paling sengit dalam sejarah.
Setakat ini, hanya negeri Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.


