KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Dividen interim yang diisytiharkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi Felda Global Ventures
Holdings Bhd (FGV) baru-baru ini, akan dibayar kepada kesemua pemegang saham FGV
yang layak dan bukan hanya kepada golongan peneroka yang memiliki saham FGV.
Dalam satu kenyataan hari ini, FGV menjelaskan bahawa pembayaran dividen
interim itu juga tertakluk kepada sistem ''single tier'' yang diperkenalkan
Lembaga Hasil Dalam Negeri di mana ia dikecualikan daripada sebarang cukai
apabila diterima oleh pemegang saham FGV yang layak.
Perdana Menteri pada Selasa mengisytiharkan pembayaran dividen interim
sebanyak 5.5 sen sesaham yang akan dibayar dalam tempoh tiga bulan selepas
tarikh pengumuman dividen tersebut iaitu selewat-lewatnya pada 27 November.
Sejajar dengan prosedur yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia, FGV berkata
kelayakan terhadap dividen interim itu akan ditentukan berdasarkan kepada
senarai pemegang saham yang masih memiliki saham FGV pada penutup hari pasaran
pada tarikh kelayakan.
Menurut FGV, tarikh kelayakan berkenaan akan hanya dapat diketahui selepas
pengumuman susulan oleh syarikat terbabit yang akan dibuat menerusi Bursa
Malaysia dalam jangka masa terdekat.
"Baucar dividen akan dihantar kepada alamat berdaftar pemegang saham FGV
yang layak dalam tempoh tidak lebih daripada 30 hari selepas tarikh kelayakan
tersebut atau selewat-lewatnya pada 27 November," tambah FGV.
Bagaimanapun, FGV menjelaskan, bagi pemegang saham yang mengambil
pinjaman untuk membeli sahamnya, penerimaan dividen ini adalah tertakluk kepada
terma pinjaman bagi pembiayaan pembelian saham tersebut di mana penerimaan
dividen ini akan lazimnya ditolak terlebih dahulu dengan baki pinjaman yang
masih tertunggak.
-- BERNAMA
NSF NHD

