Membetulkan angka 50,000 usahawan kecil pada para 5
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Wanita berusia 40 tahun ke atas kini
boleh menikmati pemeriksaan mamogram percuma, demikian diumumkan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya sebanyak RM25,000 diperuntuk bagi tujuan berkenaan yang dianggarkan
memberi faedah kepada kira-kira 100,000 wanita.
Ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata
insentif berkenaan termasuk di bawah peruntukan keseluruhan berjumlah RM50 juta
bagi memperkasa peranan wanita dalam pembentukan keluarga bahagia dan
pembangunan ekonomi negara.
Antara insentif lain, melatih 500 wanita di bawah Program Pengarah Wanita
untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat, dan mempertingkat
program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) untuk memberi khidmat nasihat
dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan
mengagihkan peruntukan berjumlah RM50 juta dalam bentuk geran RM1,000 kepada
50,000 usahawan kecil terutama wanita untuk meningkatkan jualan dalam talian
melalui program Get Malaysian Business Online (GMBO).
-- LAGI
NAJIB-BELANJAWAN (WANITA) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di bawah Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntuk sebanyak RM1.2
bilion meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja
orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik," katanya.
Najib berkata kerajaan juga memperuntuk RM400 juta di bawah program 1Azam
yang dijangka memberi manfaat kepada 58,330 individu berpendapatan rendah.
Bagi membantu golongan warga emas atau kanak-kanak jalanan dan golongan
gelandangan, sebanyak enam buah Anjung Singgah akan diwujudkan sebagai tambahan
kepada dua yang sedia ada.
"Kerajaan juga akan menyediakan lima buah Anjung Kasih di Hospital Sibu,
Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara
dan selesa kepada pesakit miskin atau anggota keluarga yang mengiringi pesakit
yang sedang menerima rawatan di hospital kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
NAN MOK RON

