BAGAN DATOH, 1 Mac (Bernama) -- Pemimpin dan wakil rakyat Barisan Nasional
(BN) perlu mempunyai pendekatan peribadi dengan setiap anggota masyarakat sekali
gus memudahkan penyaluran bantuan kepada mereka, kata Naib Presiden Umno Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata walaupun kaji selidik Merdeka Center mendapati berlaku
penurunan sentimen pengundi orang Melayu terhadap kerajaan dan BN, namun
semua peringkat pemimpin parti wajar menggembleng usaha menawan hati serta
mendekati pengundi berkenaan.
"Merdeka Center adalah sebuah badan berkecuali dan ia tidak berpihak kepada
mana-mana. Jika Merdeka Center mengatakan sokongan orang Melayu kepada BN turun,
maka Umno dan BN hendaklah berusaha mendekati semula pengundi-pengundi ini,"
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup kepada 1,308
nelayan Parlimen Bagan Datoh di sini hari ini.
Kajian Merdeka Center mendapati pada awal Februari tahun ini, 48 peratus
pengundi di Semenanjung Malaysia ''gembira dengan kerajaan'' manakala 45 peratus
dilaporkan ''gembira dengan BN''.
Kajian itu turut mendapati berlaku penurunan sentimen dalam kalangan
responden Melayu terhadap kerajaan dan BN.
-- LAGI
ZAHID-KAJIAN 2 (AKHIR) BAGAN DATOH
Ahmad Zahid berkata pengundi Melayu mempunyai kepentingan sama dengan
pengundi Cina, India serta lain-lain, oleh yang demikian tidak sepatutnya
berlaku perbezaan antara mereka dalam usaha BN memberi perkhidmatan serta
bantuan.
"Dalam perkara ini, bagi saya yang penting adalah perkhidmatan kita untuk
tiap-tiap pengundi. Walaupun mungkin kita tidak dapat 100 peratus dari segi
sokongan undi namun, kita mesti berkhidmat 100 peratus kepada mereka. Itulah
cara yang terbaik," katanya.
Beliau berkata pendekatan dan cara itu telah sekian lama menjadi amalan BN
dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
-- BERNAMA
FABS ZAZ RAM

