Pemuda PKR sokong Anwar jadi MB Selangor

Kongres kali ini terakhir Anwar sebelum dipenjara, kata pemuda PKR

Sayap Pemuda PKR hari ini menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditinggalkan oleh Lee Chin Cheh seterusnya dilantik sebagai menteri besar Selangor.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) percaya Anwar merupakan calon terbaik untuk bertanding kerusi DUN Kajang.

"AMK juga percaya kepimpinan Anwar akan dapat menggerakkan dengan lebih pantas agenda reformasi di Selangor dan menterjemahkan konsensus nasional," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih dari itu Shamsul berkata tindakan Lee meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang percaya telah membuka ruang kepada pemimpin PKR dan Pakatan Rakyat yang lebih berkaliber dan berpengalaman untuk memimpin negeri Selangor sebagai menteri besar.

"(AMK) menghormati keputusan dan tindakan Lee yang juga merupakan bendahari AMK meletakkan jawatan sebagai Adun Kajang.

"Tentunya tindakan ini di ambil setelah mengambil kira beberapa pertimbangan khusus yang membabitkan kepentingan negeri dan rakyat seterusnya mengatasi sebarang pertimbangan peribadi," katanya.

Hari ini The Malaysian Insider melaporkan Lee meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi tersebut.

Menurut sumber parti di antara yang dipercayai bakal bertanding selain Anwar adalah Ahli Parlimen Pandan penggal pertama Rafizi Ramli.

Sumber dalaman PKR itu memberitahu, Lee sudahpun menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh yang baru sahaja mengesahkan kekosongan kerusi itu. – 27 Januari, 2014.