KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata pendidikan merupakan instrumen paling berkesan bagi mencapai
matlamat melahirkan rakyat yang mampu menghadapi cabaran masa kini dan masa
hadapan serta pemimpin yang mampu membuat keputusan terbaik demi kesejahteraan.
Beliau berkata pendidikan hari ini perlu mampu menyediakan generasi masa
hadapan dengan kemahiran yang tinggi serta menghargai kehidupan yang aman,
harmoni dan berkualiti.
Malah dengan peningkatan pelbagai konflik di seluruh dunia pada masa kini,
pendidikan untuk pembangunan lestari bukan lagi merupakan satu pilihan, malah
ianya menjadi keutamaan, katanya semasa merasmikan sambutan Hari Pertubuhan
Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) Malaysia 2012
di sini hari ini
Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais
Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan
Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan wakil Unesco Dr Hubert J.Gijzen,
yang juga pengarah pejabat Unesco di Jakarta, Indonesia.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata justeru itu, adalah menjadi
tanggungjawab bersama untuk menyediakan landasan terbaik bagi rakyat menikmati
kehidupan yang lestari di masa hadapan.
-- LAGI
MUHYIDDIN-PENDIDIKAN 2 KUALA LUMPUR
Katanya walaupun Malaysia berada di landasan yang betul dalam mencapai
matlamat Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015, namun sistem pendidikan
negara perlu bergerak seiring dengan aspirasi negara serta mampu bersaing dengan
negara-negara lain yang sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap sistem
pendidikan mereka.
"Bagi menghadapi cabaran dalam persekitaran persaingan global di abad ke-21
ini, Malaysia telah megambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara
mulai Oktober 2011 dan menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan
Negara 2013-2025, yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11 September
2012," katanya.
Beliau berkata penyediaan laporan itu merupakan satu usaha yang menyeluruh,
melalui pelbagai pendekataan, serta melibatkan kerjasama pelbagai lapisan rakyat
Malaysia.
"Ini termasuklah mendapatkan pandangan daripada panel penilai bebas dari
dalam dan luar negara, serta mendapatkan perkhidmatan pakar-pakar pendidikan
dari Unesco untuk membantu dalam menjalankan kajian dan semakan semula ke atas
sistem pendidikan negara," katanya.
Beliau berkata pelan itu yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan
secara menyeluruh dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan
yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
-- LAGI
MUHYIDDIN-PENDIDIKAN 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Mengenai keanggotaan Malaysia dalam Unesco, Timbalan Perdana Menteri berkata
pada masa ini Malaysia menduduki kerusi Biro Pendidikan Antarabangsa (IBE),
Suruhanjaya Oseonografi Antarabangsa dan buat julung kalinya terpilih
menganggotai Jawatankuasa Warisan Dunia bagi tempoh 2012-2015.
"WHC merupakan salah satu jawatankuasa berprestij di bawah Unesco, yang
bertanggungjawab sebagai sebuah badan penilai dalam meluluskan pencalonan tapak
warisan dunia," katanya.
Beliau percaya dengan pemilihan ini, Malaysia akan menjadi peneraju terhadap
usaha-usaha pemeliharaan alam sekitar dan warisan budaya, khususnya dalam
kalangan negara serantau.
Sambutan kali kedua Hari Unesco Malaysia selama dua hari mulai hari ini di
perkarangan taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) turut dimeriahkan dengan
pelbagai pameran, persembahan dan pertunjukan permainan tradisional.
-- BERNAMA
PNW HK RHM

