Pengajaran daripada kejadian banjir – Amin Ahmad

Kita menyambut tahun baru 2015 dengan rasa pilu mengenangkan situasi banjir di beberapa negeri, khususnya di Kelantan yang nampak begitu parah, selain kehilangan kapal terbang AirAsia QZ8501. Takziah diucapkan kepada semua mangsa dan keluarga masing-masing.

Seperti biasa apabila sesuatu masalah berlaku, kita akan mencari punca dan pihak bertanggungjawab. Hal ini kemudiannya berkembang menjadi tuduh-menuduh, jawab-menjawab yang akhirnya semakin menjarakkan perbincangan daripada isu sebenar.

Bencana dan masalah alam sekitar

Pertama sekali, kita mesti jelas ada perbezaan antara persoalan bencana dan masalah alam sekitar. Bencana adalah perkara di luar kawalan biasa manusia sementara masalah alam sekitar ialah sesuatu yang boleh diuruskan sebelum ia berlaku.

Pengurusan bencana alam lazimnya hanya bersifat reaksi atau meminimakan kesan kejadian, bukan memastikan punca bencana tiada.

Pemahaman ini penting supaya kita tidak tahu mendudukkan isu pada tempatnya dan memberikan cadangan yang munasabah sebagai dasar dan tindakan.

Dalam isu terkini, kita mesti tahu membezakan banjir sebagai bencana alam dan banjir kilat sebagai aspek pengurusan yang mesti ditambah baik.

Tidak keterlaluan mengatakan banjir yang berlaku kini adalah bencana alam tetapi ia diburukkan lagi oleh kelemahan pengurusan.

Oleh kerana banjir di negara ini berlaku saban tahun di beberapa negeri, kesan bencana alam yang jelas mengakibatkan banyak kerugian perlu diminamakan. Selain harta benda, pemulihan infrastruktur dan kos menyelamat yang lebih mudah diukur melalui wang, aspek-aspek lain seperti kematian, kesihatan, jam kerja yang tergendala dan sebagainya mempunyai kos tersendiri.

Pelajaran pertama – keutamaan operasi

Dalam situasi bencana atau masalah alam sekitar yang berpunca daripada kelemahan perancangan, kita dapat melihat perkara paling utama yang perlu diselamatkan ialah nyawa.

Ini bukanlah sesuatu yang janggal didengar, tapi jarang diberikan perhatian. Walhal, pelbagai bantuan kemanusiaan yang diberikan jelas bertujuan menyelamatkan nyawa manusia.

Sebab itu, setiap warga mesti diasuh untuk menghayati nyawa setiap manusia adalah sangat berharga dan wajib dipertahankan daripada sebarang ancaman.

Mujur sebahagian penduduk tinggal berhampiran kawasan berbukit dan sempat melarikan diri ke sana meskipun terpaksa berada di sana beberapa hari tanpa cukup bekalan dan kemudahan sementara menanti bantuan tiba.

Pelajaran kedua – masyarakat prihatin

Sebagaimana ditunjukkan dalam banyak peristiwa sebelum ini, rakyat Malaysia sekali lagi memberikan perhatian besar dan menggerakkan pelbagai bentuk bantuan yang sesuai kepada mereka yang sedang memerlukan.

Tahniah kepada ramai wira-wira yang tidak didendang ini.

Meskipun kita masih mendengar ada beberapa insiden tidak wajar masih berlaku, misalnya masih ada yang mengambil peluang melupuskan pakaian rosak, memberi dan menyebarkan maklumat palsu dan tidak tepat, menipu dalam menjalankan kutipan sumbangan serta mengamalkan politik sempit dalam proses memberi dan menerima bantuan, masih banyak pihak baik kerajaan persekutuan dan negeri, agensi swasta, badan bukan kerajaan dan ramai individu memainkan pelbagai peranan.

Semoga masyarakat yang saling membahu ini akan terus subur diamalkan tanpa menunggu bencana.

Pelajaran ketiga – perancangan pembangunan

Tersebarnya beberapa gambar menunjukkan hutan sebagai penadah air yang begitu luas digondolkan ternyata cukup untuk mencetuskan kemarahan ramai.

Sekiranya benar kenyataan menteri besar Kelantan yang kerajaan negeri itu mengehadkan kawasan pembalakan sekitar 5,960 hektar setahun, semakan semula wajib dilakukan.

Seorang rakan mengingatkan 5,960 hektar itu bersamaan sekitar 14,727 ekar, di mana ia sekitar 14,000 padang bola sepak!

Selaku lulusan dalam bidang perhutanan, tentulah saya tercuit. Saya percaya pokok-pokok balak masih perlu ditebang kerana pokok-pokok baru yang ditanam nanti akan menghasilkan lebih banyak oksigen tetapi ada pelbagai cara yang dibentuk sebagai sistem untuk melakukannya.

Asas had tebangan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Kelantan ini dan bagaimana ia dipraktikkan mesti dijelaskan.

Dengan situasi parah yang berlaku di Kelantan kini, kegagalan menjelaskan dan hanya mengatakan berlaku pembalakan haram tentulah tidak cukup memuaskan.

Beberapa cadangan

Berdasarkan tiga aspek ini, saya ingin mengusulkan beberapa cadangan iaitu:

1) Politik dan pengurusan

Pertama, kita mesti menguruskan bencana (dan sebenarnya semua perkara) secara profesional. Kita boleh berpolitik tetapi biarlah menyentuh persoalan sebenar.

Sekiranya seorang perdana menteri terpaksa ke luar negara, meskipun pada awalnya datang ke kawasan banjir, beliau mesti memaklumkan tugas-tugasnya dipangku oleh timbalan perdana menteri atau jawatankuasa tertentu.

Tidak ada salahnya seorang pemimpin mengambil cuti atau berada di tempat lain, namun pertikaian timbul kerana bantuan yang diperlukan kelihatan tidak tersusun, seolah-olah tiada rantaian perintah (chain of command) dan ketergesaan, sekurang-kurangnya di peringkat awal.

Selepas ini ahli-ahli politik mesti serius membincangkan persoalan bidang kuasa persekutuan dan negeri.

Meskipun dimaklumi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertanggungjawab mengurus krisis dan bencana, tidak ada maklumat jelas tentang keanggotaannya dan bidang kuasa yang dimiliki setiap negeri yang mempunyai kedaulatan tersendiri dalam sistem persekutuan di negara kita.

Harus diakui, bencana sering menjadi peluang menyatukan rakyat merentas segala perbezaan. Maka, ia mesti diuruskan secara bersama dan bukan menjadi medan meningkatkan populariti dan berpolitik sempit.

Menyentuh aspek ini Jabatan Perhutanan mesti turut mengambil tanggungjawab menjelaskan apakah maklum balas yang diberi terhadap had pembalakan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Sekiranya perlu, setiap nama pemilik dan syarikat penerima projek pembalakan dan juga pihak-pihak ditangkap kerana melakukan pembalakan haram serta tindakan yang diambil.

Meskipun data yang ada menunjukkan 55.3% kawasan tanah di Malaysia dilitupi hutan (2009), 44.7% keluasan kawasan hutan di Semenanjung jelas menunjukkan pergantungan besar data ini kepada Sabah dan Sarawak.

Laporan berita beberapa tahun lalu yang menyatakan pembasmian hutan di Malaysia berlaku tiga kali lebih pantas daripada kombinasi seluruh negara Asia, di mana sekitar 2% hutan di Sarawak dilapor dibasmi setiap tahun serta kajian University of Maryland Inc., NASA, USGS, South Dakota State University, the Woods Hole Research Center dan the Gordon and Betty Moore Foundation Foundation sebagaimana disiar dalam jurnal Science yang menunjukkan pembasmian hutan di negara Malaysia antara 2000-2012 merupakan paling tinggi di dunia cukup untuk menjustifikasikan kegusaran dan pertikaian ramai.

2) Peranan swasta, badan bukan kerajaan dan individu

Dunia hari ini mula membincangkan secara intensif peranan pelbagai pihak selain kerajaan bagi membantu pengurusan risiko bencana. Berdasarkan pengalaman penulis di Amerika Syarikat, ternyata pihak swasta di negara itu sangat aktif dalam mengguna pakai teknologi terkini dan mempunyai pelan pengurusan bencana masing-masing.

Apa yang berlaku kini mungkin dapat dicegah atau diminamakan kesannya sekiranya pihak swasta, badan bukan kerajaan dan individu terlibat secara aktif sebagai sebahagian masyarakat madani yang sentiasa memberi reaksi kepada perjalanan dasar negara dan negeri. Inisiatif-inisiatif swasta berkaitan alam sekitar mesti dirancakkan.

Ekonomi jauh lebih terjejas apabila pihak swasta tidak dapat beroperasi dan belanja kerajaan terpaksa ditambah kerana perlu menangani bencana. Di peringkat antarabangsa, kajian menunjukkan bagi setiap satu dolar Amerika dibelanjakan, sebanyak antara AS$4-AS$7 dijimatkan.

3) Pendidikan

Cadangan terakhir untuk tulisan ini ialah memasukkan pengurusan kecemasan seperti bantu mula, renang dan kemandirian di hutan dalam subjek ko-kurikulum wajib di sekolah-sekolah, serta dijadikan program masyarakat, khususnya di kawasan yang sering terdedah kepada risiko berkaitan.

Adalah lazim di kawasan bencana keteraturan tidak mudah berlaku. Ketergesaan dalam situasi cemas adalah situasi biasa, namun ia bukanlah tidak boleh diperbaiki. – 3 Januari, 2015.

* Penulis adalah pengurus di Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives. Beliau juga adalah pengarah pengasas, Institute for Leadership and Development Studies (Lead) dan Founding Associate, Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.