Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Seorang peserta demonstrasi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang menetap di Citin Hotel yang terletak di Jalan Melayu, Hee Jenn Wei berkata beliau telah ditahan polis semasa di dalam hotel, dan ditumbuk di belakang lehernya selepas perhimpunan Bersih itu berakhir.
Beliau yang tinggal di Seri Kembangan, menghuni di Citin Hotel kerana mahu melibatkan diri dalam Himpunan Hijau yang bermula dari KLCC.
“Semasa saya dalam perhimpunan itu, gas pemedih mata pertama telah dilepaskan dari Dataran Merdeka, menyebabkan ramai orang telah berundur dari Dataran Merdeka ke Jalan Tun Perak.
“Ketika itu saya berada di hadapan pejabat bank OCBC, kemudian saya lari menuju ke Menara Maybank di Jalan Pudu sebelum polis melepaskan gas pemedih mata di situ yang menyebabkan orang ramai berasak-asak dari dua arah menyelamatkan diri.
“Kemudian saya menuju ke hotel sebelum gas pemedih mata ketiga dilepaskan, kemudian saya dapat masuk ke dalam hotel dengan menunjukkan kad akses saya,” kata Hee dalam keterangannya di inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap keganasan polis dalam perhimpunan Bersih pada 28 April lalu.
Hee kemudian berkata dia ke kafetaria hotel untuk makan, sebelum ditahan oleh polis yang memegang bahunya dan mengarahkan dia lari sambil bahunya dipegang oleh polis itu.
“Saya bertanya kepada polis adakah saya ditahan, polis hanya menjawab “awak ikut saya”, dan sepanjang saya berlari, saya ditendang di bahagian kaki oleh seorang lagi pegawai polis,” kata Hee lagi.
Beliau kemudian dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.
“Saya telah dibawa ke satu dewan disitu, yang telah dipagarkan dengan kawat duri.
“Di Pulapol saya telah dilayan dengan baik, tetapi saya tidak diberikan rawatan kecederaan,” katanya lagi.
Inkuiri Suhakam itu ditangguh pada 2 Ogos, 2012 ini.

