KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Seorang pengurus ladang kelapa sawit dan
penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata api dari sebuah
ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Sabah, semalam.
Ladang tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai,
bersebelahan tanah rancangan Felda Sahabat 15, kira-kira 50km dari pekan Lahad
Datu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kedua-dua mangsa lelaki itu
berusia 25 dan 33 tahun itu, dari Semenanjung, dan mempunyai tali persaudaraan
itu menggunakan nama keluarga Tung.
Beliau berkata kedua-dua mangsa itu dipecaray diculik antara pukul 3.30
petang dan 4.30 petang dan setakat ini, tiada tuntutan atau pihak yang mengaku
bertanggungjawab dalam penculikan tersebut.
Hamza berkata semasa kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama dua pekerja
mereka yang sedang menjalankan kerja harian di rumah sarang burung walit (dalam
kawasan ladang kelapa sawit) telah didatangi oleh lima lelaki yang bersenjata
api dan seorang daripada mereke memakai topeng.
-- LAGI
SABAH-CULIK 2 KOTA KINABALU
"Mereka yang menggunakan logat ''Suluk'' kemudian telah menculik mangsa dan
membawa mereka dengan menaiki bot engin sangkut lalu menghilangkan diri dari
pantai Lahad Datu," katanya pada media di ibu pejabat polis kontinjen Sabah di
Kepayan, dekat sini, hari ini.
Hamza berkata polis mengkelaskan kes itu sebagai culik dan disiasat mengikut
Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak
lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Katanya jumlah kerugian berdasarkan laporan daripada keluarga mangsa ialah
sekitar RM28,000.
"Setakat ini motif kes ini kita percaya rompakan dan kita tidak tahu kenapa
mereka diculik, dan antara barang yang dilarikan ialah telefon bimbit, rantai
emas, cincin emas dan dua set kunci kereta pacuan empat roda,"
katanya.
Hamza berkata sebaik sahaja menerima laporan angoota keluarga mangsa pada
kira-kira pukul 4.45 petang, polis bersama pasukan keselamatan lain
termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM) melancarkan gerakan mengesan mangsa culik itu.
-- LAGI
SABAH-CULIK 3 (AKHIR) KOTA KINABALU
Ditanya sama ada kes penculikan itu dirancang dan penculik yang memakai
topeng itu merupakan dalangnya, beliau tidak menolak kemungkinan itu sambil
berkata: "Llelaki pakai topeng itu mungkin kenal dengan orang di sini...kalau
tidak, saya tidak percaya ada keperluan pakai topeng".
Mengenai kemungkinan pembabitan kumpulan Abu Sayyaf dalam kes itu, katanya
tiada petanda setakat ini namun siasatan akan merangkumi semua aspek termasuk
pembabitan kumpulan itu.
Hamza berkata polis Sabah SEDANG bekerjasama dengan pasukan keselamatan
negara jiran bagi mengesan mangsa dan kumpulan penculik itu.
Ditanya sama ada mangsa culik itu masih berada di negara, Hamza berkata
beliau tidak pasti sama ada mereka masih berada di kawasan itu atau dilarikan ke
negara jiran.
-- BERNAMA
NT NT DC

