KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Pengurus stor kedai buku Borders, Nik
Raina Nik Abdul Aziz, yang didakwa mengedar buku kontroversi Allah, Kebebasan
dan Cinta, hari ini memohon Mahkamah Tinggi Syariah untuk menggantung prosiding
kes itu sementara menunggu satu lagi kesnya di Mahkamah Tinggi Sivil diputuskan.
Peguam Rosli Dahlan, yang mewakili Nik Raina, memberitahu Hakim Syarie Abdul
Walid Abu Hassan bahawa anak guamnya memfailkan permohonan bagi menggantung
prosiding itu semalam.
Rosli berkata pihaknya juga turut mengemukakan bantahan awal bagi
membatalkan pertuduhan yang dihadapi Nik Raina.
Beliau berkata permohanan itu juga difailkan di Pejabat
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam beserta afidavit Nik Raina
bagi menyokong permohonan itu.
"Oleh itu, saya memohon supaya prosiding kes ini digantung sehingga menunggu
keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil," katanya.
-- LAGI
MAHKAMAH-BUKU 2 KUALA LUMPUR
Pada 23 Mei lepas, Nik Raina bersama Pengurus Besar Operasi dan Perniagaan
Borders, Berjaya Books, Stephen Fung Wye Keong dan Berjaya Books Sdn Bhd,
pemilik kedai buku Borders, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi
mencabar tindakan rampasan buku kontroversi karya Irshad Manji oleh Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Permohonan mereka itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Sivil pada 22 Okt.
Nik Raina dalam bantahan awal bagi membatalkan pertuduhannya itu menyatakan
mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau membicarakan sebarang
pendakwaan terhadapnya berkenaan kesalahan yang menyentuh tentang percetakan,
pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penyebaran, pemilikan dan juga
hasil pengedaran sebarang penerbitan.
Beliau berkata ketua pendakwa syarie juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk
mengemukakan sebarang pendakwaan berhubung perkara sama.
Nik Raina berkata oleh kerana tidak terdapat sebarang fatwa diwartakan di
bawah Seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1993, maka tindakan penguatkuasaan oleh Jawi dan pendakwaan oleh
pihak pendakwaan adalah pra-matang.
-- LAGI
MAHKAMAH-BUKU 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Pendakwa Syarie Che Saupi Che Husin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya
memerlukan masa untuk menjawab permohonan dan afidavit Nik Raina itu.
Hakim Syarie Abdul Walid menetapkan 21 Jan depan bagi keputusan kedua-dua
permohonan Nik Raina untuk menggantung prosiding kesnya dan membatalkan
pertuduhan ke atasnya.
Pada 19 Jun lepas, Nik Raina, 36, didakwa terhadap pertuduhan menyebarkan
dengan cara menjual buku bertajuk ''Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk
menyelaraskan kebebasan dengan iman)'' terjemahan buku tulisan Irshad Manji yang
bertajuk ''Allah, Liberty and Love (The courage to reconcile faith and freedom)''
yang bertentangan dengan hukum syarak.
Tiada pengakuan direkodkan oleh Nik Raina, yang didakwa melakukan kesalahan
itu di kedai buku Borders, milik Berjaya Books Sdn Bhd, Lot T-216B, Tingkat 3,
The Gardens Mall, Mid Valley City, pada 8.41 hingga 9.45 malam, 23 Mei lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 itu membawa hukuman denda maksimum RM3,000
atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
NFM SSA HK NH


