KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pengusaha bas perlu mengambil sikap
bertanggungjawab dengan membuat pemeriksaan kesihatan dan rekod peribadi
pemandu bas dari masa ke semasa bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam
penyalahgunaan dadah atau jenayah.
Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk
Marimuthu Nadason berkata pihak berkuasa telah melakukan pelbagai tindakan bagi
membanteras kes-kes berkenaan termasuk menjalankan operasi tetapi ia sangat
mengecewakan apabila masalah itu masih berulang.
"Jumlah 46 pemandu bas ekspres yang disahkan positif dadah dalam Op Selamat
yang dijalankan di seluruh negara seperti dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan semalam adalah angka yang sangat
membimbangkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Semalam, Solah berkata pengesanan pemandu bas yang disahkan positif dadah
itu adalah hasil ujian saringan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di 32
terminal bas yang diperiksa dalam Op Selamat di seluruh negara dalam tempoh 12
Ogos hingga Jumaat lepas.
Marimuthu berkata pengusaha bas perlu mengadakan perbincangan dengan
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), JPJ, AADK, Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Institut Pengangkutan
Malaysia (Mitrans) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan bagi mencari mekanisme
terbaik menangani masalah itu.
-- LAGI
BAS-DADAH 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Beliau berkata Fomca memandang serius perkara itu dan tidak seharusnya
dijadikan sebagai ''masalah bermusim'' kerana ia membabitkan keselamatan pengguna
jalan raya, penumpang bas dan orang ramai.
"Antara faktor kepada pengambilan dadah atau alkohol di kalangan pemandu bas
ialah untuk mengejar ''trip'' (perjalanan) bagi mendapatkan pendapatan lebih.
"Fomca mencadangkan pengusaha bas menawarkan gaji atau imbuhan lain yang
lebih baik kepada pemandu untuk memastikan mereka mendapatkan rehat yang
secukupnya dan pada masa sama menjaga kesihatan mereka," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara
(Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pengusaha bas mesti menjalankan pemeriksaan
menyeluruh terhadap pemandu bas mereka bagi memastikan pemandu mereka tidak
terlibat dalam kejadian jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Selain melakukan penyelenggaraan berkala terhadap bas, pengusaha bas mesti
melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas dari masa ke semasa dan alasan bahawa
pengambilan dadah dan alkohol untuk ''memberi tenaga tambahan'' tidak boleh
diterima langsung, katanya yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah
Malaysia (MCPF).
Lee berkata masalah pengambilan dadah di kalangan pemandu bas itu sudah
berlarutan begitu lama dan telah tiba masanya semua pihak menumpukan perhatian
terhadap masalah itu dan tidak hanya dihebah pada musim perayaan.
-- BERNAMA
YAM RV SN

