Penstrukturan semula MAS ‘bailout’ penjenayah, kata PAS

PAS dedah kontraktor dapat projek lanskap Seri Mentaloon RM2.9 juta

PAS hari ini menyifatkan penstrukturan semula syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS)‎ bukan satu pelaburan tetapi "bailout" RM6 bilion kepada salahguna kuasa dalam syarikat penerbangan itu.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, MAS sebelum ini pernah disuntik dana sebanyak RM10 bilion namun masih kerugian dan tiada tindakan diambil kepada mereka yang berkenaan.

"Perdana menteri berkata ini bukan bailout, ini pelaburan RM6 bilion yang pasti akan dikembalikan. Apa selama ini kita tidak pernah suntik dana lebih daripada RM6 bilion yang sepatutnya dianggap pelaburan untuk mendapat pulangan balik?

"MAS, Khazanah dan negara tidak dapat pulangan balik daripada apa yang diistilahkan perdana menteri sebagai pelaburan sebelum ini.

"Bagi saya ini bailout. Bailout penjenayah dalam MAS. RM6 bilion diperuntukkan untuk bailout penjenayah, salahguna kuasa dan penyangak dalam MAS, termasuk pemimpin politik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno minggu lalu berkata penstrukturan semula MAS bernilai RM6 bilion bukanlah satu bailout tetapi satu pelaburan bagi menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu.

Katanya, MAS mungkin memerlukan lebih daripada tiga tahun bagi pelan pemulihannya, namun akan ada pertumbuhan positif dalam tempoh berkenaan.

"Wang disuntik ke dalam MAS dan kita memutuskan RM6 bilion itu mesti diperoleh semula. Ia bukan menyelamatkan. Menyelamatkan ialah apabila ia tidak dapat dipulihkan semula.

"Khanazah akan mengembalikan setiap sen dalam RM6 bilion itu. Ini pelaburan. Bukan menyelamatkan," katanya pada satu sidang media di Menara Dato' Onn minggu lalu.

Mahfuz berkata apa yang dilakukan kerajaan sebenarnya adalah berselindung di sebalik penstrukturan semula sedangkan belum ada kepastian suntikan RM6 bilion itu dapat diperoleh semula.

Katanya, kerajaan seharusnya telus mengenalpasti permasalahan MAS yang sebelum ini berdepan kerugian demi kerugian yang terpaksa ditanggung.

“Satu benda yang sangat memalukan apabila MAS terpaksa ditutup dan diganti dengan satu syarikat baru yang belum pasti akan ada jaminan keuntungan kepada kita walaupun diberikan tempoh tiga tahun oleh Khazanah.

“Belum ada kepastian hanya dengan suntikan dana RM6 bilion selepas kita menghabiskan wang sebanyak RM10 bilion daripada pengambilan dari Tan Sri Tajudin Ramli kemudian bebarapa kerugian lain yang terpaksa ditanggung.

“Selepas kehilangan keuntungan tersebut, hari ini kita suntik pula yang belum tentu akan ada jaminan keuntungan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu jawatankuasa siasatan khas ditubuhkan bagi mengenalpasti permasalahan MAS dan kesilapan sama tidak berulang.

Katanya, mereka yang bersalah mengakibatkan kerugian MAS perlu diambil tindakan sebelum dana baru diberikan untuk memulihkan syarikat penerbangan berkenaan.

"Saya menegaskan perlu kepada RCI bebas menyiasat keseluruhan pengurusan MAS daripada awal untuk memastikan sebarang penambahbaikan selepas ini berasaskan kepada ketepatan mengenalpasti punca.

“Pengambilalihan itu pun saya katakan tidak betul sebab diambil daripada saham yang bernilai pada waktu itu RM3.60 diambil dengan harga RM8.00. Dipaksa Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG) dan beberapa dana awam lain untuk mengambil alih saham MAS daripada Tajudin.

"Sekarang mereka tidak diambil tindakan dan sekarang dana rakyat sekali lagi akan digunakan. Kerajaan mesti jelaskan dana RM6 bilion ini datang dari mana,” katanya.

Mahfuz turut mengkritik langkah Khazanah Nasional yang mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS akan ditukar dan ini akan sekaligus membantutkan semangat bekerja pegawai kanan itu.

“Saya juga agak terkejut dengan 12 langkah yang diumumkan. Satu langkah yang diumumkan ialah mengekalkan CEO hingga Julai 2015 dan selepas ini akan ada CEO baru.

“Ini satu langkah yang sangat bodoh. Mana ada orang bila sudah tahu berhenti tahun depan, dia hendak bekerja sepenuh hati untuk pastikan perolehan keuntungan MAS. Ini kerana kerajaan sudah memperlekehnya kata kita akan cari CEO hebat,” katanya. – 2 September, 2014.