Malaysia Elections 2013

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO DIJANGKA FOKUS MENGENAI P/RAYA, KATA MUHYIDDIN

ISLAMABAD, 23 Nov (Bernama) -- Perhimpunan Agung Umno 2012 dijangka memberi

fokus terhadap bagaimana perwakilan membahaskan perkara-perkara yang ada hubung

kait dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata

ia bertujuan meningkatkan tumpuan dan perhatian setiap peringkat ahli terhadap

pentingnya pilihan raya umum yang bakal dihadapi.

"Di samping itu, kita juga mahu mengambil kesempatan untuk melihat kondisi

pemikiran pemimpin parti di semua peringkat tentang cabaran besar yang kita akan

hadapi dalam pilihan raya ini," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada

Jumaat.

Beliau berkata melalui cabaran-cabaran yang dihadapi, perlakuan pihak

pembangkang dan isu-isu yang berbangkit, anggota parti bukan sahaja setakat

perlu memahami tetapi juga menangani supaya semangat juang lebih tinggi untuk

mempertahankan kedudukan parti sebagai kuasa dalam kerajaan terhasil daripada

perhimpunan agung kali ini.

"Kalau boleh kita perkukuhkan kedudukan kita...penting untuk kita mencapai

kemenangan yang lebih cemerlang, meraih sokongan yang lebih besar dari segi

pengundi popular dan memenangi kembali negeri-negeri dulu yang kita kalah,

semasa pilihan raya umum 2008.

-- LAGI

MUHYIDDIN-PERHIMPUNAN 2 ISLAMABAD

"Jadi, perhimpunan agung ini mempunyai signifikan yang agak besar sekali.

Walaupun kita tahu dalam Umno sendiri terdapat isu-isu tertentu tetapi fokus

paling utama adalah bagaimana kita hendak menyiapsiagakan setiap ahli Umno

termasuklah di peringkat akar umbi," katanya.

Dengan tarikh pilihan raya yang makin hampir, Muhyiddin berkata adalah

penting bagi ahli Umno untuk menanam kesedaran tentang cabaran besar dan amanah

yang harus dipikul untuk menentukan mandat apabila meninggalkan Dewan Merdeka,

tempat berlangsungnya perhimpunan agung, nanti.

"Ahli Umno juga harus menekankan aspek perpaduan dalaman parti yang perlu

kita perkukuhkan. Saya pernah sebut pada mereka di setiap peringkat, di mana

saya melawat di setiap negeri berjumpa dengan pemimpin di setiap peringkat parti

baik Umno atau parti komponen Barisan Nasional.

"Yang pertamanya, saya sebutkan soal kita hendak mengelakkan masalah dan isu

dalaman. Kita sedar di sesetengah tempat masalah itu ada. Saya sudah

mengingatkan mereka supaya mencari jalan untuk selesaikan masalah itu," katanya.

Muhyiddin berharap masalah-masalah seperti itu tidak akan menjadi halangan

atau kekangan yang boleh menyebabkan Umno gagal atau tidak dapat meraih sokongan

besar pada pilihan raya umum nanti.

-- LAGI

MUHYIDDIN-PERHIMPUNAN 3 ISLAMABAD

"Bagaimanapun, pada pertemuan yang saya adakan dengan beberapa bahagian

terpilih yang saya kenal pasti memerlukan tumpuan yang lebih, nampaknya mereka

berjanji kali ini mereka akan menumpukan kepada soal kemenangan parti.

"Kalaupun ada perbezaan sesama sendiri, itu agak biasa tapi jangan jadikan

ia satu benteng yang menghalang daripada kita mencapai matlamat kita dalam

pilihan raya," katanya.

Muhyiddin berkata pendekatan untuk meraih undi sudah bermula hampir dua

tahun yang lalu di semua peringkat.

"Sudah kita sebutkan bahawa amat penting kepada mereka (pemimpin Umno)

untuk mendekati pengundi dan saya sebutkan pengundi adalah raja dan mereka yang

menentukan nasib kita sama ada terus kekal sebagai sebuah kerajaan atau

sebaliknya," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kebanyakan orang Melayu sudah sedar dan Umno

sendiri sudah memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dihadapi di setiap negeri,

terutamanya di negeri-negeri yang tewas pada pilihan raya umum lalu.

-- LAGI

MUHYIDDIN-PERHIMPUNAN 4 (AKHIR) ISLAMABAD

Beliau berkata kini sudah terdapat keyakinan yang baru di kalangan pengundi

yang Umno adalah sebuah parti yang lebih berupaya berbanding dengan PAS dan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui apa yang terjadi di negeri-negeri yang

dikuasai oleh parti pembangkang.

"Kali ini mereka (anggota Umno) sudah bekerja dan bersiap sedia lebih

awal...daripada segi minda juga mereka sudah bersedia, jadi perubahan itu

dilihat dalam bentuk gerak kerja dan bantuan-bantuan yang kita sampaikan. Oleh

kerana itu, bukan sahaja pengundi Melayu tapi pengundi Cina dan India sudah

melihat dan bersedia untuk memberi sokongan pada pilihan raya akan datang,"

katanya.

Muhyiddin menuntut para pemimpin Umno untuk lebih bersedia daripada segi

minda dan tenaga.

"Saya yakin Barisan Nasional akan memenangi pilihan raya akan datang

dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal, Insya-Allah. Apa

yang kita bakal hadapi adalah satu pertembungan yang hebat.

"Jadi, kita tidak boleh bersiap sedia seperti biasa, baik minda, baik

tenaga dan gerak kerja. Kita mesti lebih agresif daripada pembangkang

kerana ini adalah peperangan dari segi strategi yang berbagai-bagai.

"Tidak ada masa untuk istirehat, kita harus bangkit sepanjang masa,

sampai masa tugas kita selepas pilihan raya," katanya.

-- BERNAMA

ZER KHY RHM

MORE ELECTION STORIES

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.

Loading...