PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
pendirian Kementerian Dalam Negeri adalah konsisten dalam menangani perhimpunan
yang ingin dianjurkan oleh mana-mana pihak, iaitu mengutamakan keselamatan orang
ramai.
Mengulas cadangan penganjuran perhimpunan Bersih pada masa yang sama dengan
sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan 31 Ogos nanti, Hishammuddin berkata
niat dan hasrat itu boleh dipersoal, namun perkara utama ialah sama ada janji
pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan yang aman boleh dipercayai.
"Saya hanya melihat daripada konteks keselamatan negara, dan pengalaman dari
Bersih 3.0 menjadi iktibar kepada kita di mana perhimpunan itu tidak berjalan
seperti yang mereka janjikan.
"Yang penting sekarang sama ada janji-janji mereka boleh dipercayai atau
tidak, itu bukan untuk saya tentukan," katanya kepada pemberita pada majlis
berbuka puasa kementerian itu di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak penganjur perlu mengemukakan permohonan
kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kelulusan perhimpunan itu.
-- LAGI
HISHAMMUDDIN-BERSIH 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Hishammuddin juga berkata pihak berkuasa, terutama Polis Diraja Malaysia,
akan memantau keadaan bagi memastikan keselamatan jika perhimpunan itu tetap
diadakan.
Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah
RM405,366.58 daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) kepada Pusat
Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.
PNMB turut memberi sumbangan zakat sebanyak RM50,000 kepada Kelab KDN untuk
diagih kepada anak yatim, pelajar maahad tahfiz dan golongan asnaf di bawah
agensi kementerian itu.
Seramai 431 orang menerima sumbangan itu termasuk anak yatim Yayasan Chow
Kit Kuala Lumpur, anak yatim Rumah Nurhikmah Kajang dan ibu tunggal warga
kementerian.
Sumbangan itu disampaikan Hishammuddin dan isteri, Datin Seri Tengku
Marsilla Tengku Abdullah.
-- BERNAMA
ZIM ZIM SBB

