Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini mengadakan satu perhimpunan di hadapan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Kuala Lumpur untuk mendesak supaya negara itu menarik balik tiga orang diplomatnya.
Presiden NGO tersebut Datuk Ibrahim Ali berkata, PERKASA membantah kehadiran diplomat berkenaan yang didakwa terlibat dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.
Katanya, kehadiran diplomat berkenaan "memberi persepsi bahawa Singapura ingin campur tangan dalam urusan Malaysia".
"Kita mengutuk dan mengecam keras penglibatan tiga diplomat (Singapura) pada (perhimpunan) BERSIH tempoh hari kerana ia bertentangan dengan Konvensyen Vienna (berhubung hubungan diplomatik) yang mana negara merdeka harus menghormati satu sama lain.
"Penglibatan diplomat itu juga mencerminkan dan beri persepsi Singapura hendak campur tangan urusan di Malaysia. Jadi, saya tuntut tiga diplomat itu diusir dan ditarik (daripada) berkhidmat di kedutaan Singapura," kata Ibrahim selepas menyerahkan memorandum tersebut.
Ibrahim turut berkata, Singapura juga perlu meminta maaf atas tindakan berkenaan yang dibimbangi akan memberi kesan negatif kepada hubungan Malaysia-Singapura.
Katanya, beliau berharap demonstrasi oleh pertubuhannya hari ini akan menjadi pengajaran kepada kerajaan Singapura agar tidak mencampuri urusan Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Ong Keng Yeong pada 22 Jun lalu dilaporkan telah menjelaskan bahawa tiga diplomatnya itu hadir sebagai pemerhati bebas dan bukannya sebagai peserta dalam perhimpunan 28 April itu.
Beliau juga menafikan dakwaan dalam media Malaysia dan tulisan di blog bahawa mereka campur tangan dalam politik dalam negara ini melalui tindakan itu.
Terdahulu, Ibrahim tiba ke pejabat misi tersebut pada kira-kira jam 1 petang dengan sorakan "Hidup Melayu", "Berambus Singapura", dan "Aman Malaysia" oleh kira-kira 300 orang para penyokongnya.
Memorandum berkenaan diterima seorang setiausaha kedutaan berkenaan yang berjanji untuk menyerahkannya kepada kerajaan Singapura, kata Ibrahim kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertemu kakitangan tersebut.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah empat orang pemimpin tertinggi PERKASA antaranya, Datuk Zulkifli Noordin, Ruslan Kassim dan Syed Hassan Syed Ali.






