Lindung golongan LGBT ‘jejas’ Akta Harmoni, kata Saifuddin

GMM, Abim tubuh pasukan petugas dekati belia elak sertai IS

Perlindungan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) akan menjejaskan Akta Harmoni, kata Ahli jawatankuasa Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, majoriti anggota MKPN merasakan "semangat berkenaan perkara itu" dalam akta tersebut tetapi khuatir ia akan menjadi halangan untuk akta berkenaan dilaksanakan.

"Buat masa ini kami mungkin akan menggugurkan bahagian itu, tetapi majoriti ahli MKPN merasakan semangat itu," katanya selepas program penerangan Akta Harmoni Kebangsaan kepada kumpulan pelajar di pejabatnya di Kuala Lumpur.

"Kekhuatiran kami ialah tidak mahu melihat akta ini terhalang disebabkan perkara itu," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya gembira apabila isu itu dibahaskan secara terbuka.

"Orientasi seksual adalah kritikan tidak substansif, ini bukan mengiktiraf LGBT, dan kami harap untuk masa ini, kami mungkin mahu gugurkan bahagian itu.

"Saya yakin bila Parlimen bahaskan akta ini, perkara itu akan disentuh," katanya.

Sebelum ini, kumpulan aktivis hak asasi manusia menggesa MKPN tidak tunduk kepada desakan politik bagi mengeluarkan klausa yang melindungi hak seksual kumpulan minoriti dalam Akta Keharmonian Nasional.

Aktivis yang terlibat dengan LGBT itu berkata, komuniti minoriti di Malaysia layak dilindungi daripada diskriminasi dan mengeluarkan peruntukan berkenaan menjadikan Malaysia ketinggalan.

Pengasas Knowledge and Rights with Young People through Safer Spaces (KRYSS) Angela M Kuga Thas berkata, NUCC seharusnya bertanggungjawab meletakkan draf terbaik akta berkenaan yang menawarkan perlindungan kepada semua bagi melindungi keharmonian negara tanpa memberi kesan kepada keselamatan LGBT.

Beliau berkata, NUCC tidak seharusnya mendengar pendapat yang membantah dan cuba mencetuskan ekstremisme dan kebencian dengan desakan mengeluarkan peruntukan tersebut yang melindungi hak seksual komuniti minoriti.

Peruntukan 7(1)(ii) daripada akta yang dicadangkan menyatakan kerajaan dan semua pihak tidak seharusnya melayan dan mendiskriminasi mana-mana individu secara seksual, termasuk orientasi seksual dan identiti.

Bulan lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja MKPN berkenaan polisi dan undang-undang Lim Chee Wee berkata, mereka mungkin akan mengeluarkan peruntukan berkenaan kerana mendapat bantahan daripada ahli politik.

Selain akta itu, MKPN juga mendraf Akta Jenayah Kebencian Agama dan Kaum - menggariskan kesalahan seperti ucapan kebencian, dan Akta Suruhanjaya Rekonsiliasi dan Harmoni Kebangsaan yang membentuk skop badan berkenaan bagi mendengar pertikaian diskriminasi sebelum dibawa ke mahkamah.

Semua akta yang dicadangkan itu bakal menggantikan Akta Hasutan 1948.

Jellene Eva, aktivis transgender bersama Justice for Sisters memberi amaran penyingkiran klausa berkenaan bakal menguatkan diskriminasi terhadap kominiti LGBT.

Diskriminasi dan undang-undang yang tidak melindungi komuniti dan mempunyai klausa dalam akta berkenaan selangkah melindungi kumpulan minoriti seksual.

Beliau berkata, MKPN seharusnya mendengar pendapat banyak pihak berbanding hanya ahli politik.

Pengasas Seksualiti Merdeka Phang Khee Teik berkata, tindakan MKPN mendedahkan kekurangan pemahaman mereka apa itu diskriminasi dan bagaimana ia memberikan kesan kepada orang ramai.

Dengan pengeluaran klausa itu, Phang memberi amaran akan berlakunya "musim terbuka" terhadap komuniti LGBT yang membenarkan orang ramai mendiskriminasi dan menekan mereka. – 12 Julai, 2014.