KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Borang permohonan memasuki politeknik
Kementerian Pengajian Tinggi bagi sesi Disember tahun ini akan mula dijual pada
13 Ogos ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof berkata
sebanyak 20,500 tempat ditawarkan di 30 politeknik seluruh negara bagi pelajar
lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) dan sijil politeknik kementerian itu.
Tarikh tutup permohonan ialah pada 23 Sept, katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Beliau berkata para pelajar boleh memperoleh nombor pin di mana-mana
cawangan Bank Simpanan Nasional dengan harga RM10.60 dan membuat permohonan
secara online di www.politeknik.edu.my.
"Pelajar yang telah membeli nombor pin untuk kemasukan sesi Jun 2012 tetapi
gagal untuk mendapat tempat di politeknik, boleh menggunakan nombor pin yang
sama untuk memohon semula bagi sesi Disember ini," katanya.
-- LAGI
POLITEKNIK-BORANG 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Jenis kursus yang ditawarkan terdiri daripada 24 kursus peringkat sijil dan
24 kursus peringkat diploma bagi lulusan SPM atau STPM, dan 13 jenis kursus
peringkat diploma bagi lulusan Sijil Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi,
katanya.
Keputusan permohonan dijangka diketahui pada 3 Nov dan pelajar yang berjaya
akan mula mendaftar pada 17 Dis.
Md Nor berkata sebarang pertanyaan berhubung kemasukan ke politeknik
berkenaan boleh diajukan ke Bahagian Pengambilan Pelajar, Jabatan Pengajian
Politeknik, Aras 4, Galeria PjH, Jalan P4W, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100
Putrajaya atau telefon 03-8891 9240/9255.
-- BERNAMA
CS HS RHM

