Pertama Kompleks tuntut sewa tertunggak, masih buka pintu rundingan kepada penyewa

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 6 Ogos — UDA Pertama Sdn Bhd (UPSB) hari ini menegaskan, tindakan perundangan yang difailkan pihaknya terhadap penyewa di Kompleks Pertama di sini adalah untuk menuntut jumlah sewa tunggakan mereka.

Malah, UPSB juga masih membuka pintu rundingan terhadap penyewa-penyewa di Pertama Kompleks berkenaan apabila sanggup menarik balik tindakan undang-undang yang dilaksanakan mereka sekiranya penyewa membayar separuh daripada tunggakan mereka.

“UPSB hanya menuntut sewa tertunggak sahaja.”

“Walaubagaimanapun kami masih membuka pintu rundingan dan akan menarik balik tindakan perundangan sekiranya peyewa membayar 50 peratus daripada jumlah tunggakan dan baki selebihnya dibayar secara ansuran yang dipersetujui kedua-dua belah pihak,” kata UPSB dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas syarikat itu lagi, pihaknya turut mengakui “UDA tidak membuat sebarang aktiviti promosi kerana sejak penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kompleks Pertama pada Mei 2009, segala pengurusan kawasan awam dan promosi adalah di bawah tanggungjawab JMB  Kompleks  Pertama.”

“Pihak UDA juga tidak tersenarai sebagai ahli jawatankuasa, tetapi ahli jawatankuasa JMB Kompleks Pertama sendiri terdiri daripada pemilik-pemilik lot di Kompleks Pertama,” jelas kenyataan itu lagi dan menambah,”sebarang permasalahan dan pertanyaan perlulah disalurkan terus kepada JMB Kompleks Pertama.”

Kenyataan itu juga turut menjelaskan, pembinaan pagar di lokasi perniagaan terbabit juga tidak memberi kesan terhadap kedatangan pengunjung ke kompleks perniagaan yang majoritinya dimiliki peniaga Bumiputera.

“Ini kerana  kebanyakan pengunjung mengakses kompleks ini dari pintu masuk Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi.

“Tujuan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendirikan pagar tersebut adalah untuk menghalang kenderaan daripada  diletakkan di atas kaki lima, dan ia tidak mengganggu jumlah pelanggan,” jelas kenyataan berkenaan.

Sehubungan itu, syarikat itu turut memberi jaminan akan memanjangkan masalah berkenaan kepada pihak DBKL dan akan memohon pertimbangan mereka untuk merekabentuk semula pagar berkenaan.

“UDA akan  memajukan masalah dan aduan penyewa berkaitan isu pagar ini

untuk perhatian dan pertimbangan DBKL supaya merekabentukkan semula

pagar yang telah dipasang  selain membuat  lorong khas  menurunkan dan

menaikkan barang di Pintu Masuk Imej Ceria untuk kegunaan khas penyewa-penyewa Kompleks Pertama.

“Dengan adanya kemudahan lorong ini secara tidak langsung tidak akan menganggu aktiviti perniagaan di Kompleks Pertama apabila Jalan Semarang ditutup kerana kesesakan lalulintas di Jalan Raja Laut dan Jalan Tengku Abdul Rahman,” kata kenyataan itu lagi.

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.