KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang
berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, berpatah balik ke Lapangan Terbang
Heathrow kira-kira sejam kemudian ekoran masalah teknikal pada enjin No 2
pesawat.
Penerbangan MH1, yang berlepas pada 10.15 malam menuju KLIA dengan membawa
340 penumpang, selamat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow pada 11.19 malam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, MAS berkata krew yang
mengendalikan pesawat B747-400 membuat keputusan itu disebabkan masalah
teknikal.
"Demi mengutamakan keselamatan penumpang, keputusan dibuat bahawa pesawat
itu tidak seharusnya meneruskan penerbangan ke KLIA," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut MAS menyediakan pemindahan dan penginapan hotel
di London kepada semua penumpang terbabit dan akan memaklumkan urusan perjalanan
alternatif bagi penerbangan mereka ke KLIA.
Syarikat penerbangan nasional itu memohon maaf kepada semua penumpang kerana
gangguan yang tidak dijangka itu kepada rancangan penerbangan mereka.
-- BERNAMA
AZN RV GR ROS


