Pesawat MH370 hantar isyarat ‘ping’ di kawasan perairan

Pentagon pertimbang pinjamkan alat sonar untuk pencarian MH370 di bawah laut

Pesawat MH370 menghantar beberapa siri isyarat "ping" atau nadi elektronik, dengan kali terakhir dihantar di satu lokasi di atas air, lapor Wall Street Journal (WSJ).

Misi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan kini diperluas ke kawasan Lautan Hindi.

Memetik beberapa sumber dalaman ketenteraan Ammerika Syarikat, dan industri angkasa lepas, WSJ melaporkan satelit turut menerima isyarat kelajuan dan altitud pesawat berkenaan melalui lima hingga enam "ping" sebelum isyarat berkenaan hilang.

Pakar percaya ia akan membantu mereka mengesan lokasi dan laluan pesawat berkenaan.

WSJ bagaimanapun berkata, pegawai yang terlibat dalam siasatan enggan mendedahkan lebih lanjut laluan pesawat berkenaan ketika isyarat itu dihantar.

Berdasarkan laporan itu, seorang pegawai dalam industri tidak menolak kemungkinan sistem berkenaan ditutup oleh seseorang dari dalam pesawat sendiri.

Tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang kini membantu operasi dan menyelamat pesawat berkenaan berada di Lautan Hindi.

Laporan WSJ berkenaan data yang didakwa daripada enjin Rolls Royce Boeing-777 bagaimanapun dinafikan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tetapi disahkan Roll Royce dan Boeing Co.

Akhbar berkenaan kemudiannya memperbetulkan kesilapan laporannya, mengakui mereka tersilap memetik penyiasat AS berkenaan isyarat meragukan daripada pesawat berkenaan.

Memetik individu yang arif berkenaan komunikasi satelit, WSJ berkata alat berkenaan direka untuk menghantar sistem di dalam pesawat secara automatik.

Seorang pegawai di Pentagon yang dipetik laporan ABC News berkata, mereka percaya pesawat berkenaan terhempas di Lautan Hindi.

"Kami mempunyai petanda pesawat berkenaan terhempas di Lautan Hindi," lapor ABC News awal pagi ini.

MH370 hilang dari radar sekitar jam 1.30 pagi pada 8 Mac dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang termasuk anak kapal. – 14 Mac, 2014.