Malaysia Elections 2013

Peserta Bersih cuba rempuh pintu kaca hadapan Menara DBKL, kata pegawai

Oleh Nomy Nozwir

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Peserta perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Adil Dan Bersih (Bersih) cuba untuk merempuh pintu kaca hadapan Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata pegawai DBKL yang bertugas pada ketika itu, Mohd Zulhainan Mohd Isa dalam inkuiri mengenai perhimpunan Bersih pada 28 April lalu, hari ini.

Dia berkata, cubaan merempuh itu berlaku apabila polis melepaskan gas pemedih mata di Dataran Merdeka pada petang hari tersebut.

“Semasa polis melepaskan gas pemedih mata, peserta perhimpunan berlari dari Dataran Merdeka menuju ke bangunan DBKL.

“Mereka kemudiannya cuba merempuh masuk pintu kaca hadapan bangunan DBKL.

“Cubaan merempuh itu bagaimanapun digagalkan oleh pegawai yang menghadang pintu kaca hadapan bangunan tersebut,” kata Zulhainan dalam inkuiri tersebut.

Zulhainan berkata, terdapat 1,300 pegawai DBKL bertugas di sekitar kawasan tersebut dan dia ditugaskan untuk menjaga kawasan Dataran Merdeka dan Menara DBKL.

Zulhainan berkata, beliau ditugaskan untuk menjaga kawasan tersebut dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

Zulhainan juga menambah, pegawai DBKL menerima arahan untuk berdiri di belakang Unit Simpanan Persekutuan (FRU) semasa perhimpunan berlangsung.

“Tugas kami pada ketika itu ialah untuk menjaga harta benda Datuk Bandar serta tidak membenarkan peserta perhimpunan dari memasuki kawasan Dataran Merdeka,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, antara kerosakan yang berlaku selepas perhimpunan tersebut ialah pokok-pokok, penghadang besi, dan papan tanda jalan raya.

“Pada jam sekitar 5 hingga 6 petang, pihak polis telah mengumpul peserta-peserta di hadapan menara, untuk meminta kad pengenalan dan beberapa butir identiti diri,” katanya lagi.

Dia juga berkata pegawai DBKL tidak melakukan sebarang tangkapan pada hari tersebut.

Sementara itu, seorang lagi saksi, ASP Kamarul Rizal Jenal berkata, pihak polis masih lagi menyiasat dalam kes polis memukul wartawan dari akhbar The Sun, Radzi Razak.

Kamarul berkata, seramai 30 orang pegawai polis telah dikawatcam dalam usaha menyiasat mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

“Menurut Radzi, yang memukulnya ialah sekitar enam hingga tujuh orang, namun setakat ini kita masih belum menemui pegawai yang terlibat,” kata Kamarul dalam inkuiri hari ini.

Menurut Kamarul lagi, saksi yang melihat Radzi dipukul itu ialah Khairul, wartawan dari Antara Pos dan Fairus dari Sinar Harian.

“Dua orang saksi itu bagaimanapun tidak dapat melihat kerana mereka berada di belakang kejadian terbabit,” katanya lagi.

Panel inkuiri yang diketuai Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu dengan ahli suruhanjaya Professor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid and Detta Samen.

Inkuiri akan bersambung jam 9.30 pagi Rabu ini.

MORE ELECTION STORIES

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.

Loading...