Oleh Lisa J. Ariffin dan Leannza Chia
PETALING JAYA, 10 Ogos — PKR hari ini mahu Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalihkan haluan projek Bekalan Tenaga Kawasan Tengah (CAR) bagi mengelakkan kebimbangan penduduk terhadap kesihatan mereka serta sekaligus mengelakkan masalah tenaga di Selangor dan sebahagian Lembah Klang.
Ahli parlimen Selayang William Leong hari ini berkata sebagai menjawab kenyataan Naib Presiden (Penghantaran) TNB Datuk Rozimi Remeli bahawa kawasan di Selangor dan di Lembah Klang bakal menghadapi masalah bekalan elektrik jika projek itu tidak dijalankan segera.
“Penangguhan projek itu adalah kerana TNB yang mahu membina menara pembekalan elektrik di Kampung Sungai Terentang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dia memberitahu bahawa penduduk membantah pembinaan menara itu kerana kepadatan penduduk serta kebimbangan mereka terhadap kesihatan, bagaimanapun TNB enggan mengubah laluan walaupun kerajaan negeri Selangor sudah mencadangkan tiga laluan alternatif untuk projek tersebut.
“Ini bukan soal tenaga kerja atau kepakaran (untuk laluan baru), tetapi hanya kos dan keuntungan,” Leong mendakwa, memberitahu bahawa kos laluan sekarang adalah RM18.64 juta, sementara tiga lagi cadangan ialah RM11.1 juta, RM17.5 juta (mengelilingi kampung tersebut) dan RM226.25 juta (bawah tanah).
Leong memberitahu penduduk kawasan kampung itu sangat padat dan kawasan dicadangkan ialah sekitar sekolah rendah dan klinik wanita.
“Walaupun kos dan keuntungan adalah penting, namun keselamatan penduduk dan alam sekitar juga perlu diambil kira. Anda tidak boleh menggantikan nyawa dengan wang ringgit,” katanya lagi.
Turut hadir ialah ahli dewan undangan negeri Rawang, Gan Pei Nei, yang menuduh TNB menggunakan isu gangguan tenaga ini untuk memastikan kerajaan negeri Selangor membenarkan projek di Kampung Sungai Terentang.
“TNB menggunakan isu gangguan tenaga ini dengan harapan kerajaan negeri Selangor akan memberikan kepada mereka,” kata Gan.
“Kami telah mencadangkan laluan alternatif untuk gangguan minima. Keselamatan dan kesihatan penduduk kampung tidak boleh ditolak tepi terutamanya dengan adanya laluan alternatif ini,” katanya lagi.
Projek CAR, yang bermula sejak 2005, melibatkan pemasangan kabel sepanjang 60km kabel berkuasa tinggi dari Bukit Tarek di Rawang hingga Kampung Chubadak, Sentul. Projek ini bagaimanapun ditangguh sepanjang empat tahun berikutan bantahan oleh penduduk di Kampung Sungai Terentang, dengan berbaki 1.5 kilometer untuk siap.
Rozimi berkata TNB telah membelanjakan RM300 juta untuk memastikan bekalan tenaga elektrik negara khususnya Selangor dan Lembah Kelang akan kekal mencukupi.
Rozimi berkata TNB dalam masa sama akan terus berusaha menambahkan bekalan tenaga elektrik seluruh negara.
Sejumlah RM1 bilion telah diperuntukkan tahun ini untuk membangunkan bekalan tenaga elektrik dan dari jumlah tersebut, 95 peratus sudah digunakan, katanya lagi.


