PKR: Mansuhkan kos pentadbiran untuk galakkan pembayaran PTPTN

1MDB terus rugi, tidak mustahil akan muflis, kata PKR

PKR mensyorkan agar kos pentadbiran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan ekoran maklum balas yang diperoleh mendakwa ianya hanya membebankan peminjam.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata langkah tersebut perlu diambil sementara menunggu Pakatan Rakyat (PR) memerintah dan memberikan pendidikan percuma seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka.

"36 peratus responden menyalahkan kos pentadbiran yang tinggi dan tidak adil sebagai sebab mereka tidak membayar ansuran PTPTN dengan sempurna.

"Berdasarkan dapatan ini, PKR percaya bahawa langkah seterusnya sementara menunggu pelaksanaan pendidikan percuma bila mana Pakatan Rakyat berkuasa kelak ialah dengan menggerakkan kempen menuntut penghapusan kos pentadbiran," kata Pengarah Stategi PKR itu dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

Rafizi sebelum itu mendedahkan hasil dapatan kajian ke atas PTPTN yang mendapat respon baik daripada peminjam, seramai 1,053 orang telah memberikan maklum balas sejak ia dijalankan.

Menurut Rafizi lagi, sebanyak 39 peratus responden yang memberikan maklum balas memberi alasan gaji yang rendah dan kos sara hidup tinggi sebagai punca mereka tidak meneruskan bayaran ansuran PTPTN.

"Masalah gaji yang tidak sepadan dengan kos sara hidup adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh peminjam.

"53 peratus daripada peminjam tergolong di dalam kategori kumpulan 40 peratus termiskin (berpendapatan isi rumah kurang RM1900 sebulan), sementara 80 peratus daripada peminjam berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan. Gaji yang rendah ini menyebabkan bayaran bulanan PTPTN menjadi bebanan berat kepada mereka," katanya lagi.

Disamping itu, Rafizi juga mengumumkan penubuhan satu pertubuhan peminjam PTPTN bagi membela nasib peminjam PTPTN, ianya akan dpertanggungjawabkan kepada Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Isu pendidikan percuma disuarakan oleh PR yang menggesa pemansuhan PTPTN dan kerajaan dipertanggunjawabkan untuk menyedia pendidikan tinggi percuma kepada rakyat.

Malah, semasa pilihan raya ke-13 lalu PR juga memasukkan pendidikan percuma dalam manifesto mereka sebagai usaha untuk mendapat sokongan daripada golongan muda yang tersepit dengan pinjaman itu.

Sehingga Februari tahun ini, Kementerian Pendidikan memberikan sebanyak RM48.59 bilion kepada peminjam PTPTN.

Malah, desakan oleh PR pada pilihan raya lalu menyebabkan juga Putrajaya terpaksa memperkenalkan pemotongan 10 ke 20 peratus diskaun kepada peminjam yang membayar hutang PTPTN bagi meningkatkan kutipan hutang pinjaman pendidikan tersebut.

PR menegaskan sekiranya kerajaan menghentikan ketirisan belanja yang dianggarkan bernilai RM28 bilion setiap tahun, maka ia boleh menanggung kos membayar hutang PTPTN penuntut di seluruh 21 universiti di negara ini. - 3 September, 2013.