Oleh Md Izwan
PETALING JAYA, 4 Okt — Naib presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng menuduh projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang bertujuan untuk merampas tanah daripada para penduduk atas alasan pembangunan dan meningkatkan ekonomi.
Chua (gambar) berkata projek sebenar di Pangerang hanya melibatkan penggunaan kawasan seluas 2,889 ekar sahaja tetapi kerajaan negeri Johor sebaliknya menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memperolehi keluasan kawasan hingga 22,500 ekar.
“Kerajaan Selangor pernah mendapat tawaran yang sama bagi projek di Pengerang. Tapi ia ditolak, kerana telah ditolak oleh pihak kerajaan negeri.
“Semasa tawaran itu dicadangkan kepada kerajaan Selangor menerusi Syarikat Everwish Sdn Bhd, mereka hanya meletak syarat sebanyak 2889 ekar saja yang diperlukan untuk mendirikan loji petrokimia di Pulau Indah,” kata Chua.
Ekoran bukti baru tersebut, Chua mempersoalkan kenapa sejumlah besar tanah itu dirampas oleh kerajaan Johor dibawah menteri besar (MB) Dato' Abdul Ghani Othman serta berharap beliau menjelaskan apakah rancangan bagi menggunakan baki tanah tersebut.
Chua juga tidak menolak sebuah syarikat kroni Tebrau Teguh Bhd di Johor mungkin akan mendapat faedah dalam perancangan baki tanah di Pengerang.
Chua juga menjelaskan keputusan kerajaan Selangor menolak projek tersebut adalah kerana hasil kajian mendapati projek tersebut akan menjejaskan alam sekitar, berisiko tinggi kepada kesihatan orang awam dan ia akan menjejaskan bekalan air memandangkan loji tersebut memerlukan penggunaan air yang sangat tinggi.
Keputusan yang diambil oleh kerajaan Selangor menurut Chua adalah bukti sikap Pakatan Rakyat (PR) berbeza dengan perdana menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang hanya mementingkan keuntungan daripada kepentingan rakyat sendiri.
"Kerajaan negeri Selangor menolak projek tersebut walaupun akan mendapat keuntungan berbilion ringgit demi rakyat, tetapi tidak PM yang mahu menggandaikan masa depan rakyatnya demi keuntungan RM60 bilion.
"Sudahlah membahayakan rakyat, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memperoleh tanah secara paksa tetapi tidak membeli secara persetujuan antara pembeli dan penjual," kata Chua lagi.
Menurut Chua lagi, projek RAPID ini bakal menghapuskan 17 buah kampung yang majoritinya didiami penduduk berbangsa Melayu dan pekan lama Pengerang yang juga sebuah bandar Cina berusia 180 tahun akan turut mengalami nasib yang serupa.
Walapun sudah mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA), Chua mendakwa kelulusan itu diberikan secara paksaan kerana pada awal bulan puasa dahulu pihak Jabatan Alam Sekitar telah menolak laporan EIA tetapi kemudiaannya ia ditarik balik secara tergesa-gesa hingga menimbulkan persoalan adakah terdapat tekanan politik ke atas keputusan tersebut.
"Saya mahu Jabatan Alam Sekitar menjelaskan adakah mereka mendapat tekanan politik apabila membuat keputusan mengejut menarik balik keputusan menolak laporan EIA?," kata Chua lagi.
Pada minggu lalu, satu perhimpunan raksasa Himpunan Hijau Pengerang telah berlangsung di kubu kuat Umno tersebut bertujuan menentang projek petrokimia bernilai RM60 bilion itu yang bakal menyaksikan ribuan orang kampung kehilangan tempat tinggal dan kehidupan.
Projek RAPID ini bernilai kira-kira RM60 bilion membabitkan pembinaan 20 kilang penapisan adalah sebahagian program pembangunan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang terbesar dan termoden di rantau ini.
Malah, projek yang membabitkan 4,000 penduduk itu, sudah mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA). Laporan EIA terperinci disediakan jururunding berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar bagi cadangan projek itu, diluluskan pada 27 Ogos lalu selepas ia memenuhi kehendak Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.



