KIMANIS, 11 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengajak anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal setia pada perjuangan
parti dan tidak terlalu mengejar jawatan demi pembangunan negara.
Beliau berkata pemimpin yang ikhlas dan setia harus menjadi pilihan rakyat
sepertimana di bawah prinsip dalam agama Islam dan sunnah Rasulullah.
"Rasulullah sudah bagi landasan nak pilih atau lantik seseorang, jangan gila
jawatan...jangan duk beria sangat...kalau mahu sesuatu pun, tidak boleh ikut
hawa nafsu dan perasaan," katanya.
Katanya beliau masih ingat pesanan allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak
Hussein yang masih relevan iaitu: "Kalau hendak jadi seorang pemimpin dan nak
kepimpinan diberkati Allah, disenangi dan diterima rakyat, kita mesti seorang
pemimpin jujur dan ikhlas".
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa
bersama rakyat di SMK Bongawan II, kira-kira 85 kilometer dari bandar Kota
Kinabalu, di sini, hari ini.
-- LAGI
NAJIB-SETIA 2 KIMANIS
Lebih 10,000 penduduk pelbagai kaum memeriahkan majlis yang turut dihadiri
isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Musa Aman, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.
Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno yakin dan percaya hanya
''parti penyelamat'' Umno dan BN mampu menjadi badan yang dapat menyerlahkan lagi
potensi Sabah untuk terus maju.
Beliau turut melahirkan keyakinan BN negeri melalui barisan kepimpinannya
yang hebat tidak akan goyang meskipun ''sedikit berkocak'' dengan segelintir
pemimpin yang bertukar haluan.
"Biasalah kalau air di dalam cawan berkocak sedikit...kalau ada goyang
sedikit pun seronok juga tetapi saya yakin kita tetap dapat pertahankan Sabah
dengan kepimpinan dari Musa dan barisan rakan-rakannya," katanya.
Katanya keikhlasan adalah penting dalam perjuangan membela nasib rakyat dan
tidak sepatutnya menjadikan parti sebagai batu loncatan dan perlu sentiasa
menyokong dasar-dasar perjuangan parti yang berjaya memakmurkan negara dari
Semenanjung sehingga ke Sabah.
-- LAGI
NAJIB-SETIA 3 (AKHIR) KIMANIS
"Kalau ikut sejarah UMNO, sesuatu parti akan terus kekal memimpin dengan
mempunyai pemimpin yang sentiasa jujur, ikhlas dan kuat berdiri di belakang
parti. Kita lihat sahaja Datuk Onn Jaafar bila keluar parti, tiada sokongan
tetapi kemudiannya anaknya (Tun Hussein Onn) yang dalam Umno dapat jadi perdana
menteri," katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut meluluskan pembinaan masjid baharu
daerah Kimanis dan menurutnya kerajaan juga akan mengkaji pelebaran jalan raya
dari Kota Kinabalu ke Sindumin pada tahun depan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan
mualaf.
Sementara itu, Menteri Luar China Yang Jiechi turut melakukan kunjungan
hormat ke atas Najib di sekolah itu sebelum berlepas pulang ke ibu negara.
-- BERNAMA
SZA SZA RHM

