Advertisement

PM, isteri hadir program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul

Akad nikah anak Najib selamat disempurnakan malam tadi

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor malam ini menyertai kira-kira 50,000 orang menghadiri program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul 1435 di Dataran Masjid Putra, Presint 1 di Putrajaya, malam ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Najib yang berjubah putih dan berkopiah serta Rosmah yang tiba kira-kira 8.30 malam, meluangkan masa hampir dua jam mengikuti program itu anjuran Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia.

Program itu bermula dengan solat Isyak berjemaah di Masjid Putra dengan diimamkan Abdul Manaf Mat, disusuli dengan solat hajat bagi memohon supaya dipermudah operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Selepas itu, majlis selawat dan qasidah dimulakan pada 9 malam diikuti pengisian lain seperti zikir terapi, bacaan Al-Quran serta tazkirah.

Selawat dan qasidah dipimpin oleh ulama terkenal Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Pengarah Publisiti dan Promosi program itu, Izelan Basar, berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 500,000 orang menghadiri program itu, yang buat pertama kalinya diadakan secara besar-besaran.

Program itu disiarkan secara langsung di TV1 Radio Televisyen Malaysia, TV Al-Hijrah dan Astro Oasis serta Radio Ikim. - Bernama, 22 Mac, 2014.