KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Polis yakin dapat menyelesaikan 20 kes
samun di sekitar ibu kota sejak tahun lepas berikutan penahanan dua lelaki
dipercayai anggota geng samun KK Mart dan Kedai 7-Eleven pada Isnin lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur
ACP Khairy Ahrasa berkata kedua-dua suspek itu ditahan secara berasingan pada
4.30 pagi di rumah mereka di Pandan Perdana, Ampang di sini.
"Hasil intipan ke atas Pasar Raya KK Mart di Brickfields, anggota polis
berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang berusia 33 tahun itu," katanya
pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa barang yang dipercayai digunakan suspek untuk
menyamun turut dirampas, antaranya sebuah motosikal ''kapcai'' jenis Honda,
sebilah parang dan satu kotak minuman keras dari sebuah daripada rumah yang
dihuni suspek.
Khairy berkata seorang daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau
termasuk kes curi, peras ugut dan dadah. Kedua-dua lelaki itu ditahan reman
sehingga esok.
-- LAGI
POLIS-SAMUN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu, polis menemui 11 telefon bimbit, 11 jam tangan, dua kamera,
sebuah komputer riba dan tujuh rangkai kunci disyaki kunci kereta yang dicuri
seorang lelaki yang mati selepas terjun dari tingkat tiga sebuah hotel di Jalan
Persiaran Dagang, Kepong semalam.
Khairy berkata suspek maut selepas cuba melarikan diri dengan terjun dari
tingkat tiga hotel berkenaan semasa polis menyerbu tempat persembunyiannya.
Barang-barang itu ditemui di dalam bilik hotel yang disewanya.
-- BERNAMA
SN2 KHY ROS

