Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 16 Jan — Pihak polis dilihat tidak memberikan komitmen untuk membenarkan bedah siasat kedua berkaitan kematian seorang tahanan polis, Chang Chin Te, selepas kematiannya pada hari Ahad yang lalu, kata ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
Menurut Gobind (gambar), keengganan pihak polis untuk membenarkan bedah siasat ini menimbulkan syak wasangka dan meminta agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menjawab perkara ini.
“Datuk Seri Hishamuddin perlu jawab perkara ini, sudah 219 kes kematian tahanan polis, beliau tidak serius dalam menghentikan kes kematian dalam balai polis,” kata Gobind dalam sidang media di hadapan ibu pejabat polis di Bukit Aman, hari ini.
“Kita perlu tahu, pihak keluarga perlu tahu punca kematian, kita mahu buat tindakan susulan.”
Turut bersama Gobind ialah ahli parlimen Subang, R Sivarasa, dan Yang di-Pertua PAS Subang, Hadi Misni Dahlan.
Menurut Sivarasa, kes kematian ini adalah yang kedua di Subang, dan keengganan polis dilihat seperti mahu menutup kebenaran.
“Kita nampak sudah ada assault pada mangsa,” katanya. “Sepatutnya polis perlu benarkan siasatan kedua, polis tak boleh halang keluarga untuk meminta post mortem kedua.”
Sementara itu, isteri mangsa, Lim Wei Ni, berkata, ketika beliau melawat mayat suaminya, beliau mengambil gambar suaminya tetapi diminta pihak polis dan pegawai perubatan di hospital untuk memadamkan gambar suaminya di dalam telefon bimbitnya.
“Saya lihat ada lebam-lebam di muka dan di dada,” kata Lim dalam sidang media tersebut.
“Saya ambil gambar suami saya, tetapi diarahkan pihak polis dan pihak perubatan untuk memadam gambar selepas saya mengambil gambar suami saya.”
Sivarasa berkata, pihak hospital dihalang dari mengadakan bedah siasat kedua kerana keengganan pihak polis menandatangani borang kebenaran yang dipanggil “Borang 61”.
“Pendirian polis ialah sudah buat post mortem pertama tak perlu yang kedua,” kata Sivarasa lagi.
Sementara itu, PAS Subang juga menuntut agar keadilan dituntut bagi keluarga mangsa.
“Kita rasa ini melampaui batas. Kena ada pengadilan sebelum dihukum,” kata Hadi, merujuk kepada kematian A. Kugan di balai polis USJ 8.
“Polis kena jelaskan, sebab ini kali kedua berlaku di balai polis yang sama.”
Kematian dalam tahanan bukan perkara yang baru melibatkan agensi penguatkuasa di dalam negara, malahan sebelum ini Putrajaya juga sering dikritik kerana tidak bertanggungjawab dan bersikap lepas tangan dalam mengendalikan kes-kes tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa kes kematian dalam tahanan yang menyebabkan Putrajaya menerima tekanan hebat daripada orang awam antaranya kes melibatkan kematian A Kugan dalam tahanan polis dan dua kematian di bawah tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed.


