KAMPAR, 16 Jan (Bernama) -- Polis tidak menolak kemungkinan memanggil
Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham memberi keterangan berhubung kenyataan
dalam laman twitternya mengenai kemalangan membabitkan kenderaan Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) Seri Manjung di Sitiawan Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kemungkinan itu ada bagi
membantu dan menambah baik siasatan polis.
"Mungkin ada pihak lain akan dipanggil dan bukan Datuk Ngeh sahaja, katanya
ketika ditemui pemberita selepas program Kepolisan Berprofil Tinggi di
Universiti Tunku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Pada 11 Jan lepas, Ngeh yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sitiawan
didakwa mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitternya iaitu: "jpj purportedly
cross divider to get a lorry causing the big pile up. People ask, if jpj does nt
(not) follow the law why shd (should) we?"
[(kenderaan) JPJ sengaja melintasi pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori
menyebabkan kemalangan besar. Rakyat bertanya, jika JPJ tidak mematuhi
undang-undang, mengapa kita patut (patuhi undang-undang)]
Mohd Shukri juga berkata polis masih merakam keterangan empat suspek yang
ditahan sebelum dan selepas kejadian itu dan masih mengenal pasti beberapa lagi
suspek melalui rakaman video termasuk yang dimuatnaik dalam Youtube berhubung
kemalangan itu.
-- LAGI
POLIS-JPJ 2 (AKHIR) KAMPAR
Beliau berkata tiga saksi bebas telah tampil bagi membantu siasatan polis.
"Kita akan mengenal pasti suspek seorang demi seorang dan kemungkinan kita
akan menahan lebih ramai suspek. Ada rakaman video dibuat mereka yang tidak
dikenali termasuk yang kita lihat di Youtube. Teknologi membantu kita dan perlu
lakukan sesuatu mengenainya," katanya.
Mengenai dakwaan keempat-empat suspek itu adalah ''tonto'', beliau berkata
latar belakang kesemua suspek belum diperincikan lagi namun mereka disyaki
terlibat dalam perbuatan membakar kenderaan JPJ terbabit semasa kejadian itu.
Beliau berkata orang ramai tidak sepatutnya menuduh kononnya polis cuba
menyembunyikan fakta kejadian sebenar kerana semasa kejadian, pihaknya turut
mendengar laporan daripada orang ramai yang menjadi saksi kejadian.
"Polis tidak memanipulasi atau melindungi apa-apa fakta. Apabila kita
lakukan siasatan yang lebih teliti, kemungkinan cerita yang mula-mula itu akan
berbeza selepas ada saksi dan orang yang datang memberi keterangan maka siasatan
kita akan lebih tepat lagi," katanya.
Dalam kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda JPJ Seri Manjung diterbalik
dan dibakar orang ramai di Km 12 Jalan Sitiawan-Ipoh di lampu isyarat
berhampiran Sekolah Menengah Methodist, Ayer Tawar.
Kemalangan itu turut melibatkan sebuah lori sawit, sebuah lori pasir, dua
bas sekolah, tiga kereta sedan, sebuah jip dan sebuah motosikal mengakibatkan
empat cedera parah dan 11 cedera ringan.
-- BERNAMA
ZAZ ZAZ NH


