Advertisement

Popia Ketam di Bazaar Ramadan Seksyen 13



Kalau anda berkunjung ke Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam iaitu betul-betul bersebelahan stadium, pasti hati terdetik apa agaknya yang dimakan ketika berbuka.

Jangan ketinggalan untuk  terus ke gerai Popia Ketam yang boleh menyebabkan ratusan popia habis dijual hanya dalam masa beberapa jam saja setiap hari.

Diberi jolokan Popia Ketam sesuai dengan intinya yang mengandungi ketam, pengusahanya menjual di gerai mereka seawal pukul 3 petang yang tidak putus-putus dikunjungi pembeli sekitar Shah Alam dan Subang.

Meskipun dijual pada harga RM0.50 bagi setiap popia, tiada sebarang rungutan daripada pelanggan berikutan saiznya yang besar dan tidak boleh didapati di tempat lain malah rasanya memang sangat menyelerakan.

Tinjauan mendapati kedudukan strategik gerai di tengah-tengah Bazar Ramadan menjadi antara tarikan pelanggan mengunjunginya selain ada komen positif yang tersembul keluar dari mulut pembeli yang berpuas hati mengenai `kemewahan' bahan digunakan dalam penghasilannya.

Walaupun gerai tersebut turut menjual makanan lain jenis kuih-muih yang digemari ketika berbuka puasa, popia masih tarikan yang paling menarik!

Malah, walaupun peniaga yang biasanya menyediakan satu bakul besar bagi mengelakkan pelanggannya `kempunan' daripada menikmati hidangan istimewa itu selepas penat menunggu giliran, ia memang macam pisang goreng panas, cepat betul habisnya!

Popia madu ini adalah resipi asli yang unik dengan bahan seperti kulit popia, ketam merah putih, sayur-sayuran dan sos yang membuka selera pembeli nanti.