Oleh Md Izwan
PETALING JAYA, 12 Sept — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa satu Jawatakuasa Khas Parlimen (PSC) ditubuhkan bagi membincangkan Pelan Induk Pendidikan Kebangsaan yang diumumkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kerana mendakwa ia satu lagi bukti kegagalan kerajaan di dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.
Pemimpin DAP Lim Kit Siang mengkritik rancangan tersebut kerana setiap menteri pendidikan yang dilantik memperkenalkan pelan induk masing-masing tetapi malangnya kualiti dan mutu pendidikan masih ditakuk lama.
“Semua menteri pendidikan keluarkan blueprint mereka, tapi apa hasil yang negara peroleh daripada pelan mereka itu?
“Mutu dan pendidikan masih jatuh,” kata Lim.
Lim juga mencabar kementerian untuk membentangkan laporan The Trends In International Mathematics and Sciences Study (TIMSS) kepada umum sebelum melaksanakan pelan induk yang dilancarkan semalam memandangkan sudah empat tahun laporan tersebut tidak dibentangkan kerajaan.
Menurut Lim, TIMSS merupakan kajian yang dijalan oleh The International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) yang dijalankan setiap tahun iaitu 1995, 1999, 2003, 2007 dan tahun lepas.
Menurut ahli parlimen Ipoh Timur itu, sikap kerajaan bersembunyi dan mendiamkan diri dan tidak membentangkan laporan TIMSS membuktikan mereka tidak bertanggungjawab.
“Menteri pendidikan sebelum ini Tan Sri Musa Mohamad dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein turut mempunyai blueprint masing-masing, sekarang ini Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sama tetapi malangnya mutu pendidikan negara masih merosot.
Lim juga memberitahu cadangan mengambil bahagian dalam TIMSS tersebut bermula daripada 1999 dimana ketika itu Najib adalah menteri pendidikan.
“Saya bertemu dengan Najib pada 1996 bagi memberi cadangan untuk memasukkan Malaysia dalam TIMSS dan ia dipersetujui oleh beliau.
“Malaysia mula mengambil bahagian dalam TIMSS bermula 1999,” katanya.
Menurut Lim, Malaysia mendapat kedudukan yang lebih baik dalam TIMSS pada 2003, tetapi kemudiaannya prestasi pendidikan negara semakin menurun selepas itu malah lebih buruk lagi laporan tersebut disembunyikan.
“Pada 2007 prestasi negara jatuh khasnya matematik. Pada Januari 2009 apabila laporan ini keluar, tiada sebarang kenyataan atau perbincangan daripada kerajaan dan kementerian pendidikan mengenai masalah ini.
“Hinggalah kini baru kerajaan mengakui berlaku kemerosotan dalam pendidikan.
“Saya juga mahu mempersoalkan kerajaan mengapa selepas hampir 4 tahun, laporan TIMSS ini tidak dibentang untuk dibincangkan sebaliknya disembunyikan,” kata Lim.
Objektif TIMSS ialah untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam matematik dan sains, Malaysia pada tahun 2003 berada dikedudukan ke-10 dalam penilaian matematik tetapi kemudiaannya jatuh ke kedudukan ke-20 pada 2007 manakala bagi sains pula negara berada dikedudukan 21 pada 2007.
“Jika kerajaan serius dalam isu pendidikan, saya syorkan ditubuhkan satu PSC pada sidang Dewan Rakyat nanti,” tambah Lim lagi.
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik pelan induk ini kerana walaupun setiap pelbagai dasar dan polisi baru yang diperkenalkan masalah rasuah masih meningkat.
Anwar juga berkata perkara ini membuktikan kerajaan tertekan dengan rungutan orang ramai hingga terpaksa memperkenalkan pelan induk tersebut dan tidak yakin kerajaan mampu melaksanakannya.
Dalam pelan yang dilancarkan semalam, Malaysia mensasarkan untuk berada di tempat ketiga dalam ujian Program Pencapaian Pelajar Antarabangsa dalam masa 13 tahun. Negara kini berada di tempat ketiga terbawah.
Pelan pendidikan tersebut terdiri dari 11 bahagian dan enam untuk pembangunan kanak-kanak, pengetahuan, kemahiran berfikir, kepimpinan, kemahiran berbahasa, moral dan identiti kebangsaan.
Bahagian tersebut juga termasuk untuk memperkukuhkan pejabat pendidikan daerah dan negeri untuk mensasarkan 30 peratus tertinggi dari graduan untuk perguruan diserapkan di situ.
Selain itu, akses untuk pendidikan berkualiti peringkat antarabangsa, dan memastikan setiap anak-anak mahir dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, membangunkan nilai-nilai murni rakyat Malaysia, memastikan lebih banyak sekolah berprestasi tinggi, membangunkan bahagian teknologi maklumat (ICT) untuk meningkatkan kualiti seluruh Malaysia, mentransformasikan kementerian pendidikan, bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta, meningkatkan pengeluaran untuk setiap ringgit yang dilaburkan dan ketelusan untuk akauntibiliti.



