Advertisement

Praktikan cara pengurusan krisis Umno, asalkan jauhi sisi gelap – Amirrul Jeffery Igai

Bercakap soal kaedah pengendalian krisis, dalam Barisan Nasional (BN) meskipun terdapat suara-suara sumbang terhadap beberapa perkara yang berbangkit daripada parti komponen BN, segera ianya ditutup, diselimut dan diselesaikan dengan cepat dan pantas.

Ini dapat kita lihat daripada cara dan method pengurusan krisis pemimpin utama BN yakni Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak. Tidak kira apa jua cara yang digunapakai, baik memakai jalan yang lurus ataupun bengkok, cara terang mahupun cara gelap, gaya yang betul mahupun salah, objektifnya, asalkan krisis tidak melarat dan bernanah.

Ini juga dapat kita saksikan semasa berlakunya pergolakan dan krisis dalaman Umno dan BN di Terengganu tempoh hari. Sehingga hampir menumbangkan kerajaan Negeri Terengganu .

Untungnya BN apabila sultan tidak meminta dua atau tiga nama sebagai calon menteri besar (MB), dan ini mempercepatkan proses dalam meredakan ketegangan. Kalau pun ada permintaan daripada Sultan Terengganu untuk berbuat demikian, secara jujurnya saya percaya krisis tersebut tidak akan berlarutan selama berminggu-minggu mahupun sebulan.

BN nampaknya mangambil ikhtibar dan belajar daripada kesilapan lalu. Juga mungkin boleh kita sifatkan atas solidariti yang kuat di kalangan pemimpin parti komponen BN. Sahaja mahu bercakap begitu.

Itu situasi yang dihadapi Umno dan BN di Terengganu, kalau di Selangor situasi pengendalian krisis di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) nampak jauh berbeza dan meruncing. Perkara ini menjadi lebih seram dan gelap apabila tiada persefahaman dan pendirian tetap dan rasmi melibatkan isu MB yang baru bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tersembul keluar segala kecelaruan kepimpinan di antara pemimpin utama parti komponen PR yang dianggotai PAS, DAP dan PKR.

Tidak kisah sama ada PAS menghantar lebih daripada dua nama, atau sepuluh nama mahupun seribu nama calon MB sekalipun itu hak mereka. Bukan persoalan utama bagi PKR untuk menghantar satu nama, bukan juga perkara pokok bagi DAP sealiran dengan PKR untuk memberi satu nama kepada sultan Selangor.

Akar tunjang kepada segala permasalahan dan kekacauan calon MB di Selangor kerana tiadanya toleransi dan kesepakatan. Itu harus diakui. Dan krisis tersebut diburukkan lagi dengan sifat curiga mencurigai dan saling tidak percaya di kalangan ahli komponen PR.

Nampak hodoh apabila ada pemimpin waktu siang cakap gelap dan waktu malam cakap cerah. Menjelang pagi cakap petang dan menjelang petang cakap subuh. Perkara yang akan menampakkan keburukan sebagai seorang pemimpin dan mencalarkan kredibiliti.

Kita menghormati dan menjunjung titah baginda sultan Selangor untuk meminta lebih daripada dua nama, bagi saya itu cuma syarat dan prosedur dalam menjalankan pemilihan calon MB besar yang baru baginda.

Apa yang baiknya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah tetap memiliki kelebihan dan kekuatan berbanding pesaing beliau di kalangan calon MB yang lain seandainya benar PAS memberikan lebih dua nama. Relevannya di sini, Dr. Wan Azizah mempunyai solidariti daripada 30 Adun PR.

Berita ini dikukuhkan lagi dengan Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani 30 Adun tersebut. Ini ada pada Dr. Wan Azizah dan tiada pada calon MB yang lain dan beliau mendahului pesaingnya dengan 1- 0.

Bukan juga kita menjamin dengan SB yang ditandatangani 30 Adun tersebut melayakkan beliau menjadi pilihan sultan Selangor, tetapi sekurang-kurangnya sokongan yang diberikan terhadap Dr. Wan Azizah boleh mengolah persetujuan dan meminta anggukan sultan Selangor dan menajamkan sokongan terhadap beliau. Tidak perlu bagi PKR dan DAP menggelabah dan panik .

Dalam soal calon MB yang diusulkan PAS kepada baginda, di sini mungkin agak kabur. Tiada jelas pendirian pada senarai calon MB. Pemimpin kanan kata sokong dan pemimpin kiri kata pilih calon lain. Itu kita enggan bicara, tapi mengikut surah si panglipur lara, nama Dr. Wan Azizah terselit sekali. Bak kata P.Ramlee "ini ada chance", melainkan terselit syarat lantikan undang-undang tubuh negeri Selangor calon MB mesti pemimpin lokal atau anak Selangor.

Kekacauan tentang senarai calon MB di kalangan pemimpin PKR dan juga DAP tidak begitu ketara. Berlainan dengan apa yang berlaku dalam parti PAS, perbezaan pendapat di kalangan pucuk pimpinannya begitu jelas menjulang tinggi.

Lagi diburukan dengan kecaman dan kutukan sampai ada usul untuk diambil tindakan kepada dua Adun PAS yang menyokong Dr. Wan Azizah sebagai calon MB. Ini mengundang satu lagi kepada masalah dalaman PAS yang melarat , kesan dariapa berantakan pendapat dan pandangan.

Itu hanyalah sebahagian, situasi bertambah kritikal apabila seorang timbalan Mursyidul Am PAS dalam Muktamar Dewan Ulama menyeru agar Dewan Ulama PAS meneliti sama ada kerjasama politik dalam PR perlu diteruskan. Beberapa pemimpin kanan PAS menyuarakan pendapat yang sama sebelum ini.

Meneliti dan memperhalusi berkenaan kerjasama politik tidak salah, tapi perlu ada pertimbangan secara mendalam. Melainkan Pas yakin parti itu mampu bergerak solo bagi menawan Putrajaya.

Dalam iklim politik Malaysia yang masih segar dan kyushuk mengamalkan dasar pecah dan perintah, ianya hampir sulit untuk direalisasi, biarpun PAS sebelum ini metranformasikan dasar Negara islam kepada Negara berkebajikan.

Akhir kalam, sepertimana Umno memerlukan MCA, MIC, Gerakan, PBB dan parti komponen BN lain untuk terus mengekalkan kuasa dan pemerintahan. PAS juga memerlukan DAP dan PKR untuk menuju ke Putrajaya.

Dalam arena politik Malaysia, secara praktikal setiap parti memerlukan dan bekerjasama melalui gabungan dengan parti lain untuk berkuasa dan menguasai ekonomi untuk diagihkan kepada rakyat secara adil.

PAS sudah sedia maklum, lama dan masak terhadap sepak terajang dan corak politik tempatan. Mustahil PAS tidak sedar. Dalam Pas terutamanya dan PKR secara sampingan ada bekas orang Umno.

Praktikkan cara pengurusan krisis mereka, dalam memastikan kesinambungan PR tapi jangan amalkan cara pengurusan sisi gelap yang ada pada Umno untuk dibawa masuk. Atau barangkali selain daripada pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkinkah terdapat pro-Umno dalam PAS?

Kalau masih ada saki baki geng "Unity Government" (UG) dengan Umno bagaimana?– Wallahualam. – 18 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.