KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Projek My Rapid Transit tidak akan
melibatkan bangunan Bukit Bintang Plaza, kata Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid
Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid.
Beliau berkata MRT Corp akan membina stesen itu secara berasingan tanpa
digabungkan dengan bangunan BB Plaza dan Yayasan Selangor.
"Kami juga mengeluarkan notis rasmi kepada pemilik hartanah persendirian
lain di kawasan Bukit Bintang untuk memaklumkan kepada mereka berhubung perkara
itu," katanya pada taklimat media mengenai pakej kerja jejambat transit MRT V3,
di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Azhar berkata, kerja-kerja di stesen itu kemungkinan
melibatkan perbincangan dengan pemilik BB Plaza dan Yayasan Selangor.
"Kami menunggu maklum balas daripada mereka. Mereka menyedari bahawa ia
adalah peluang keemasan bagi mereka untuk bersepadu dengan stesen itu, kerana ia
akan meningkatkan nilai hartanah mereka dan lokasi," katanya.
Azhar berkata sekiranya pemilik BB Plaza dan Yayasan Selangor mahu bergabung
dengan stesen itu, bangunan mereka perlu dibangunkan semula.
"Bagaimanapun, bagi kami, kami tidak mahu menangguhkan projek itu akan
meneruskan dengan rancangan membina stesen Bukit Bintang berasingan bagi
memastikan kami dapat menyiapkan projek itu tepat pada masa, menjelang Julai
2017," katanya.
Mengenai pakej kerja jejambat transit V3 bernilai RM816 juta yang diberikan
kepada Mudajaya Corp pada Jun, beliau berkata kerja-kerja akan bermula bulan
ini.
"Daripada lapan pakej kerja jejambat transit yang ditawarkan MRT Corp, tujuh
telah diberikan. Baki pakej itu, V8 (Taman Mesra-Kajang), dijangka diberikan
pada akhir Ogos tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
NSF THS ZK

